Tuesday 1 October 2013

Kuasa di sebalik Rabithah Hati

Assalamua'laikum Warahmatullah Wabarakatuh..
Alhamdulillah, masih diizinkan Allah untuk update blog..bukan setakat bersawang, dah jadi blog usang. Semua orang diberi masa dan waktu yang sama yakni 24 jam dalam sehari tetapi diri ini yang sering tertewas melangkau dan mengejar masa. Alhamdulillah hari ini, Allah gerakkan HATI untuk saling berkongsi.
Hati, terkadang diri ini keliru sekali apabila berdepan situasi yang berkaitan hati. Sesuatu yang susah untuk difahami. Dua tiga hari ini, hati dipamit kerinduan. Semakin kuat pula ia menyapa berbanding hari-hari lain. Rindu pada insan agung, kekasih dan kemanjaan Allah. Kekasih yang seharusnya mendapat tempat kedua di hati orang beriman selepas Allah yang berada di tempat pertama. Kerinduan yang bertandang menimbulkan fikiran dan pertanyaan 'bilakah dapat bertemu baginda?'

Rasulullah, terlalu rindu..
Padamu junjungan jiwa..
Didalam senda yang utama..
Menyambungkan kasih denganmu..

Sukar dimengerti, berada di jalan dakwah, jalan yang direntas oleh Rasulullah dan kita hanya melalui sahaja jalan yang direntas oleh baginda. Sudah tentulah insan yang merentas jalan tersebut lebih melalui pahit getir dan duri-duri di sepanjang jalan berbanding kita yang telah disediakan jalannya. Hakikat ini begitu mendatangkan rasa sebak dalam diri ini. Namun ada suatu kemanisan yang ditinggalkan insan agung ini buat para pejuang yang mewarisi jalan perjuangan baginda. Ukhuwah..ya, ukhuwah dan rabithah hati. Nilai ikatan yang tidak akan sama dengan mana-mana ikatan persahabatan sekalipun. Sungguh, dihadirkan sahabat-sahabat yang sentiasa berjalan seiring dalam jalan perjuangan adalah satu anugerah yang tidak ternilai buat insan kerdil ini. Masih dikurniakan sebegitu besar nikmat dalam merentas jalan yang penuh liku cacian, hinaan dan duri-duri cercaan manusia.
Beberapa waktu menyepi, penulis menerima satu pesanan SMS daripada sahabat yang sangat disayangi. Banyak persamaan antara diri ini dengan dirinya menimbulkan keserasian yang bukan sedikit. Lantas, keserasian yang terbina diterjemah dalam bentuk rabithah hati kerana Allah. Selepas berbalas pesanan buat beberapa ketika, timbul satu pertanyaan darinya..
" Sejak bila sahabat ana ni suka gelak?? dulu tak macam ni pun. -_-"
Sungguh, terasa satu tusukan menusuk ke hati. 'Sejauh ini dia mengenali diriku?' walaupun tidak mendengar suara dan hanya berbalas pesanan, dia masih mampu mengenali dan perasan akan perubahan sahabatnya ini.
Dulu, di alam persekolahan, sahabatnya ini (penulis) hanya seorang pelajar yang pendiam dan susah bersuara, sangat susah untuk mendengar lontaran kata-kata mahupun idea daripadanya. Bekerja dalam badan dakwah masih belum cukup membuatnya belajar akan sesuatu. Bekerja tanpa memerlukan tenaga muslimin dan baginya muslimat masih mampu melakukan kerja walaupun tanpa tenaga daripada kaum adam. Lantas segala kerja dakwah dilaksanakan hanya dengan tenaga muslimat. Muamalah yang terlalu sedikit dengan muslimin menjadikan kumpulannya dikenali dengan golongan 'skema', 'thiqah'dan 'baik-baik'.
Itu dulu..kini, semuanya berubah. Sahabatnya ini telah banyak berubah. Banyak bergurau dan sentiasa mengukir senyuman. Hingga terkadang diri sendiri berasa tidak thiqah lagi. Kerja yang perlu dijalankan dengan kaum muslimin menjadikan dirinya takut melanggari batasan lantaran kurangnya pengalaman dalam bermuamalah selain bermuamalah dengan muslimat. Kadang-kadang dirinya tertanya-tanya dan keliru, 'perlukah perubahan itu?', 'perlukah menjadi orang lain demi meraikan insan lain?' Sungguh, diri ini perlu banyak muhasabah dan istikharah.
Sahabat, terima kasih kerana menjadi sahabat dan kemanjaan hatiku. Menegur di kala diri ini semakin tersasar lari, menggenggam tangan menyalurkan kekuatan dan ketabahan di saat kekeliruan menyelimuti hati dan membimbing di saat aku lupa menjaga diri. Sungguh, diri ini perlu banyak muhasabah dan sentiasa perlukan pelukan kasih sayang daripada dirimu.
Wallahua'lam.

credit to: Ain Afikhah kemanjaanku..(^_^)

No comments:

Post a Comment