Tuesday 1 October 2013

Kuasa di sebalik Rabithah Hati

Assalamua'laikum Warahmatullah Wabarakatuh..
Alhamdulillah, masih diizinkan Allah untuk update blog..bukan setakat bersawang, dah jadi blog usang. Semua orang diberi masa dan waktu yang sama yakni 24 jam dalam sehari tetapi diri ini yang sering tertewas melangkau dan mengejar masa. Alhamdulillah hari ini, Allah gerakkan HATI untuk saling berkongsi.
Hati, terkadang diri ini keliru sekali apabila berdepan situasi yang berkaitan hati. Sesuatu yang susah untuk difahami. Dua tiga hari ini, hati dipamit kerinduan. Semakin kuat pula ia menyapa berbanding hari-hari lain. Rindu pada insan agung, kekasih dan kemanjaan Allah. Kekasih yang seharusnya mendapat tempat kedua di hati orang beriman selepas Allah yang berada di tempat pertama. Kerinduan yang bertandang menimbulkan fikiran dan pertanyaan 'bilakah dapat bertemu baginda?'

Rasulullah, terlalu rindu..
Padamu junjungan jiwa..
Didalam senda yang utama..
Menyambungkan kasih denganmu..

Sukar dimengerti, berada di jalan dakwah, jalan yang direntas oleh Rasulullah dan kita hanya melalui sahaja jalan yang direntas oleh baginda. Sudah tentulah insan yang merentas jalan tersebut lebih melalui pahit getir dan duri-duri di sepanjang jalan berbanding kita yang telah disediakan jalannya. Hakikat ini begitu mendatangkan rasa sebak dalam diri ini. Namun ada suatu kemanisan yang ditinggalkan insan agung ini buat para pejuang yang mewarisi jalan perjuangan baginda. Ukhuwah..ya, ukhuwah dan rabithah hati. Nilai ikatan yang tidak akan sama dengan mana-mana ikatan persahabatan sekalipun. Sungguh, dihadirkan sahabat-sahabat yang sentiasa berjalan seiring dalam jalan perjuangan adalah satu anugerah yang tidak ternilai buat insan kerdil ini. Masih dikurniakan sebegitu besar nikmat dalam merentas jalan yang penuh liku cacian, hinaan dan duri-duri cercaan manusia.
Beberapa waktu menyepi, penulis menerima satu pesanan SMS daripada sahabat yang sangat disayangi. Banyak persamaan antara diri ini dengan dirinya menimbulkan keserasian yang bukan sedikit. Lantas, keserasian yang terbina diterjemah dalam bentuk rabithah hati kerana Allah. Selepas berbalas pesanan buat beberapa ketika, timbul satu pertanyaan darinya..
" Sejak bila sahabat ana ni suka gelak?? dulu tak macam ni pun. -_-"
Sungguh, terasa satu tusukan menusuk ke hati. 'Sejauh ini dia mengenali diriku?' walaupun tidak mendengar suara dan hanya berbalas pesanan, dia masih mampu mengenali dan perasan akan perubahan sahabatnya ini.
Dulu, di alam persekolahan, sahabatnya ini (penulis) hanya seorang pelajar yang pendiam dan susah bersuara, sangat susah untuk mendengar lontaran kata-kata mahupun idea daripadanya. Bekerja dalam badan dakwah masih belum cukup membuatnya belajar akan sesuatu. Bekerja tanpa memerlukan tenaga muslimin dan baginya muslimat masih mampu melakukan kerja walaupun tanpa tenaga daripada kaum adam. Lantas segala kerja dakwah dilaksanakan hanya dengan tenaga muslimat. Muamalah yang terlalu sedikit dengan muslimin menjadikan kumpulannya dikenali dengan golongan 'skema', 'thiqah'dan 'baik-baik'.
Itu dulu..kini, semuanya berubah. Sahabatnya ini telah banyak berubah. Banyak bergurau dan sentiasa mengukir senyuman. Hingga terkadang diri sendiri berasa tidak thiqah lagi. Kerja yang perlu dijalankan dengan kaum muslimin menjadikan dirinya takut melanggari batasan lantaran kurangnya pengalaman dalam bermuamalah selain bermuamalah dengan muslimat. Kadang-kadang dirinya tertanya-tanya dan keliru, 'perlukah perubahan itu?', 'perlukah menjadi orang lain demi meraikan insan lain?' Sungguh, diri ini perlu banyak muhasabah dan istikharah.
Sahabat, terima kasih kerana menjadi sahabat dan kemanjaan hatiku. Menegur di kala diri ini semakin tersasar lari, menggenggam tangan menyalurkan kekuatan dan ketabahan di saat kekeliruan menyelimuti hati dan membimbing di saat aku lupa menjaga diri. Sungguh, diri ini perlu banyak muhasabah dan sentiasa perlukan pelukan kasih sayang daripada dirimu.
Wallahua'lam.

credit to: Ain Afikhah kemanjaanku..(^_^)

Thursday 14 March 2013

Kerana Aku Peduli..(buatmu Muslimah)


Assalamua’laikum warahmatullah wabarakatuh..
Kehadapan saudariku yang ku kasihi kerana Allah, untuk permulaan warkah ini, ingin ku nyatakan rasa sayangku kepadamu, kerana kau insan yang sangat dekat dihatiku. Sesungguhnya aku menyayangimu kerana ingin meraih redha Allah.
Saudariku,
Jauh di sudut hati ini, aku ingin menjadi seorang wanita yang jauh lebih baik dari siapa aku hari ini. Namun aku tahu, jika aku sendiri, aku tidak mampu menghadapi mehnah dan tribulasi. Maka aku ingin mengajakmu bersamaku menyusuri jalan ini.
Saudariku,
Sekian lama aku mengagumi dirimu, kerana kau insan yang dekat dihatiku. Cuma satu impianku, aku ingin kita menjadi anak yang menyejukkan hati ibu dan ayah, adik@kakak yang membimbing kearah kemuliaan seorang wanita dan bakal isteri yang membantu perjuangan para suami, sayap kiri bagi seorang mujahid sejati kerana kita ada peranan untuk membangun ummah wahai saudariku yang dikasihi.
Wahai saudariku, jagalah kehormatanmu. Jangan terlalu mudah menyambut huluran salam perkenalan yang membuatmu asyik dengan dunia. Kerana dirimu harus menguatkan seseorang untuk membangun agama. Aku yakin engkau mampu menjaga IZZAH seorang bidadari dunia.
Terdetikkah dihatimu apa yang kukatakan ini? Jangan bersedih saudari, engkau mawar agama yang diredhai Allah dan dicintai Nabi. =)..wahai saudari, ketahuilah. Engkau jiwa yang baik, jiwa yang rindu, Cuma engkau KELIRU. Ayuh kita bersama menuju redha Illahi. Saudari, engkau ada satu jalan, dan engkau sentiasa punya satu pilihan. Iaitu kembali kepada LUASNYA KEHIDUPAN BERTUHAN. Kembali berteduh di bawah redup kasih Illahi, nescaya engkau dikurnia kasih seorang lelaki yang baik iaitu suami. Usah takut, bukankah aku juga sepertimu? Maka aku akan bersamamu..saling menyokong dan memimpin tika kita sama-sama meniti dan bertatih di atas jalan ini, yang pasti, engkau tidak sendiri kerana aku menyayangimu..=)
Wallahua’lam..
~~ KERANA AKU PEDULI ~~

Sunday 24 February 2013

IKHLASkah kita dalam berUKHUWAH?

Assalamua'laikum warahmatullah wabarakatuh..

Ayuh bertahmid, bertasbih dan bertakbir memuji Allah swt kerana begitu banyak nikmat yang dikurniakan Allah swt kepada kita, maka zahirkanlah kesyukuran itu dengan sentiasa memuji-Nya, insya-Allah. Firman Allah swt dalam surah Ibrahim ayat 7: "jika Kamu bersyukur dengan nikmat-Ku, maka akan Aku tambahkan nikmat-Ku kepadamu. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw kerana tanpa keperitan dan kesusahan yang dialami baginda untuk menyebarkan Islam, nescaya tidak kita dapat merasai nikmat Iman dan Islam pada hari ini.

Kata-kata Hujjatul Islam Al-Imamul Ghazali, "Ukhuwah itu bukan pada indahnya pertemuan, tapi pada ingatan seseorang terhadap saudaranya di dalam doanya." Masya-Allah, betapa indahnya mengukir ukhuwah kerana Allah kerana bukan pertemuan menjadi nilaian tetapi ingatan seorang sahabat kepada seorang sahabatnya yang lain di dalam doanya. 

Memetik kata – kata Imam Hasan Al-Banna,
Ukhuwah ialah, 'Hati dan jiwa ditautkan dengan akidah'. 'Akidah adalah ikatan yang paling kuat dan berharga. Ukhwah adalah saudara bagi iman. Perpecahan adalah saudara bagi kekufuran. Kekuatan yang paling ampuh ialah kekuatan kesatuan. Tiada kesatuan tanpa kasih sayang. Kasih sayang yang paling rendah ialah kesejahteraan hati (terhadap saudara seIslam) dan yang paling tinggi ialah ithar (mengutamakan orang lain daripada diri sendiri)สน
Imam Hassan al-Banna meletakkan 3 tahap ukhuwah. Setiap mukmin yang berukhuwah mampu mengukur sejauh mana mereka mampu menghayati nilai ukhuwah itu sendiri. 1) Salamatul sodri (berlapang dada), 2) musawah (kesamarataan) 3) Ithar (melebihkan kepentingan sahabat melebihkan kepentingan sendiri. Pada pandangan penulis yang lebih mengenali diri sendiri, penulis sendiri pun masih tidak mampu untuk mencapai tahap pertama dalam berukhuwah, inikan pula mencapai tahap sanggup berkorban demi sahabat sendiri. Kadangkala timbul satu perasaan tidak puas hati terhadap apa yang dilakukan oleh sahabat kita sehinggakan rabithah itu menjadi renggang. Astaghfirullahala'zim, sehingga kini pun penulis masih berusaha mengingatkan diri agar sentiasa berlapang dada dengan sahabat. Benarlah bahawa peringatan itu sentiasa memberi manfaat bagi orang-orang yang beriman. 
Perumpamaan dari Sayyid Quthb :
“persaudaraan adalah mukjizat, wadah yang saling berikatan dengannya Allah persatukan hati-hati berserakan saling bersaudara, saling merendah lagi memahami, saling mencintai, dan saling berlembut hati”
Untaian kata dan perumpamaan di atas memberikan pemahaman lebih mengenai hakikat dari sebuah kata ‘ukhuwah’. Banyak hal yang tak terfikirkan justeru ternyata dari sanalah hikmah ukhuwah itu muncul. Ia memberi kefahaman bahawa ukhuwah itu melebihi batas-batas kekeluargaan sedarah seibu, sehingga saudara seiman adalah bagai sebuah tubuh yang jikalau ada bahagian tubuh itu yang sakit maka bahagian tubuh yang lain akan ikut sakit.
Penulis teringat akan satu kata-kata coretan Hilal Asyraf dalam buku 'Fanzuru'. Beliau mencoretkan bahawa apakah yang menjadikan ukhuwah itu indah? Jawapannya adalah pengorbanan. Dengan pengorbanan kita terhadap sahabatlah yang akan menjadikan kita lebih tenang ketika bersamanya. Bukankah kita tidak patut bersahabat dengannya kerana kelebihannya? Sahabat kita juga adalah manusia biasa yang tidak dibekalkan dengan kesempurnaan, maka kitalah yang bertanggungjawab mengorbankan diri untuk melengkapkan kekurangannya itu. 
Teringat satu kisah di zaman hijrah Rasulullah saw yang mana Abdurrahman bin Auf telah berhijrah dan beliau disambut oleh seorang pemuda Ansar. Melihatkan Abdurrahman bin Auf tidak mempunyai satu harta pun, maka dengan senang hati beruntaikan aqidah Islamiyyah, pemuda tadi telah menawarkan kepada Abdurrahman bin Auf akan isterinya. Pemuda tersebut berkata: wahai saudaraku! Daripada kalangan-kalangan isteriku ini, pilihlah yang paling muda untuk menjadi penemanmu. Subhanallah, betapa tingginya tahap ukhuwah antara sahabat di zaman Rasulullah dan betapa hebatnya tarbiyah Rasulullah apabila mampu melahirkan sahabat yang sanggup berkorban sedemikian rupa..apakah kita mampu melakukannya? tepuk dada tanya iman..=)

Benarlah ukhuwah itu bukan sekadar kata-kata yang mudah meluncur dari bibir tetapi ukhuwah itu memerlukan penghayatan dan pembuktian dari sudut amalan insani. Jika kita sekadar melafazkannya tetapi amalan kita tidak melambangkan ukhuwah pun maka ikhlaskah kita dalam berukhuwah?