Friday 27 January 2012

~ Dia Pasti Ada..~

          Mata masih tajam terpaku di depan skrin laptop 14 inci. Laptop yang berbudi. Aku beli usai mendapat gaji pertama. Sebagai kenangan peribadi. Hajat hati mahu menyudahkan perincian modul Program 'Offline With Couple' khusus untuk remaja yang akan dilaksanakan dua minggu lagi. Dahi yang tidak berkerut terus diurut. Mengharap idea terpancar dari minda yang lemas. Mana mungkin!
          Aku tidak mampu membendung kegusaranku. Peluang bertemu Anisah atas urusan program ini, aku manfaatkan sebaiknya. "Anis, ana nak tanya pandangan enti sikit." Aku menyambung perbincangan kami pada isu yang lebih peribadi. "Sejak bila sopan sangat ni? Biasanya terjah soalan tak ada pun minta-minta izin." Anis menjawab pertanyaanku dengan gurauan mesra. 
          Anisah, sahabatku sedari zaman sekolah lagi. Teman sama berusrah, sama ditarbiyyah dan hari ini, sama berjuang. Sikapnya yang ramah sesuai dengan namanya. Tidak pernah lokek memberi pandangan walau dia saja mungkin tidak banyak pengalaman. Tetapi pembacaannya yang banyak meyakinkan aku untuk berkongsi resah. Dia sentiasa punya idea yang setidaknya mampu membantu meleraikan kusut jiwa ini. Aku sudah tidak mampu menanggungnya. Penat!
         "Ana dah buat keputusan, ana nak putuskan hubungan dengan Lutfi." datar nadaku. "Haa? Bulan depan dah nak nikah kan?" Anis terkejut seperti yang aku jangkakan. Aku mengangguk lemah. Tidak mampu aku tatap wajah Anis yang kehairanan. Bebola mataku tepat memandang meja yang berselerakan dengan kertas kerja program. "Zahra, apa masalahnya? cerita dengan jelas dan terang. Insya-Allah ana akan berikan pandangan yang terbaik." Jujur Anis mahu membantuku. "Ana rasa Lutfi bukan yang terbaik untuk ana. Jiwa kami tidak serasi, matlamat kami tidak sama, impian juga berbeza. Ana penat membohongi diri sendiri. Menerimanya atas desakan abah yang risau anaknya masih belum berteman hidup." Luahku tulus dari hati. "Tak serasi macam mana maksud enti? Kenapa selama ini ana lihat enti tak ada masalah pun. Atau enti sudah ada pilihan lain?" Tanya Anis ingin penjelasan. "Bukan sebab ana ada pilihan lain. Banyak perbezaan antara ana dengan Lutfi tapi ana tak boleh ceritakan semuanya. Ana minta maaf." Aku tidak mahu membuka aib Lutfi pada Anisah. "Baiklah, ana faham dan hormati pendirian enti. Cuma yang mampu ana nasihatkan, istikharah kembali. Mohon dengan tulus dan bersungguh, Allah tunjukkan jalan keluar pada kerumitan ini. Saat dia melamar mahu jadikan enti suri hatinya, enti terima dalam keadaan yang baik. Jadi, andainya ketenangan enti hanya akan kembali dengan memutuskan pertunangan ini, tolaklah dengan cara yang baik juga. Jelaskan pada abah dan mak. Jangan sampai keresahan jiwa enti mengeruhkan hubungan dua keluarga. Ana yakin enti seorang yang rasional, bertindak dengan akal yang waras dan hati yang bersih. Insya-Allah, keputusan enti nanti natijahkan sesuatu yang positif. Doa ana iring." Tutur Anis satu persatu. Bergenang kelopak mataku. 
          Berbalam kulihat wajah mulus Anis. Nasihat sahabatku yang penuh hikmah. Aku menggenggam tangannya erat. Tidak terlafaz ucapan terima kasih, hanya gerak laku itu mampu kuzahirkan.

*sharing is caring: dipetik dr majalah tarbawi pas- 60 tahun mempersada gerakan.
-akan bersambung...=)