Sunday 24 February 2013

IKHLASkah kita dalam berUKHUWAH?

Assalamua'laikum warahmatullah wabarakatuh..

Ayuh bertahmid, bertasbih dan bertakbir memuji Allah swt kerana begitu banyak nikmat yang dikurniakan Allah swt kepada kita, maka zahirkanlah kesyukuran itu dengan sentiasa memuji-Nya, insya-Allah. Firman Allah swt dalam surah Ibrahim ayat 7: "jika Kamu bersyukur dengan nikmat-Ku, maka akan Aku tambahkan nikmat-Ku kepadamu. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw kerana tanpa keperitan dan kesusahan yang dialami baginda untuk menyebarkan Islam, nescaya tidak kita dapat merasai nikmat Iman dan Islam pada hari ini.

Kata-kata Hujjatul Islam Al-Imamul Ghazali, "Ukhuwah itu bukan pada indahnya pertemuan, tapi pada ingatan seseorang terhadap saudaranya di dalam doanya." Masya-Allah, betapa indahnya mengukir ukhuwah kerana Allah kerana bukan pertemuan menjadi nilaian tetapi ingatan seorang sahabat kepada seorang sahabatnya yang lain di dalam doanya. 

Memetik kata – kata Imam Hasan Al-Banna,
Ukhuwah ialah, 'Hati dan jiwa ditautkan dengan akidah'. 'Akidah adalah ikatan yang paling kuat dan berharga. Ukhwah adalah saudara bagi iman. Perpecahan adalah saudara bagi kekufuran. Kekuatan yang paling ampuh ialah kekuatan kesatuan. Tiada kesatuan tanpa kasih sayang. Kasih sayang yang paling rendah ialah kesejahteraan hati (terhadap saudara seIslam) dan yang paling tinggi ialah ithar (mengutamakan orang lain daripada diri sendiri)สน
Imam Hassan al-Banna meletakkan 3 tahap ukhuwah. Setiap mukmin yang berukhuwah mampu mengukur sejauh mana mereka mampu menghayati nilai ukhuwah itu sendiri. 1) Salamatul sodri (berlapang dada), 2) musawah (kesamarataan) 3) Ithar (melebihkan kepentingan sahabat melebihkan kepentingan sendiri. Pada pandangan penulis yang lebih mengenali diri sendiri, penulis sendiri pun masih tidak mampu untuk mencapai tahap pertama dalam berukhuwah, inikan pula mencapai tahap sanggup berkorban demi sahabat sendiri. Kadangkala timbul satu perasaan tidak puas hati terhadap apa yang dilakukan oleh sahabat kita sehinggakan rabithah itu menjadi renggang. Astaghfirullahala'zim, sehingga kini pun penulis masih berusaha mengingatkan diri agar sentiasa berlapang dada dengan sahabat. Benarlah bahawa peringatan itu sentiasa memberi manfaat bagi orang-orang yang beriman. 
Perumpamaan dari Sayyid Quthb :
“persaudaraan adalah mukjizat, wadah yang saling berikatan dengannya Allah persatukan hati-hati berserakan saling bersaudara, saling merendah lagi memahami, saling mencintai, dan saling berlembut hati”
Untaian kata dan perumpamaan di atas memberikan pemahaman lebih mengenai hakikat dari sebuah kata ‘ukhuwah’. Banyak hal yang tak terfikirkan justeru ternyata dari sanalah hikmah ukhuwah itu muncul. Ia memberi kefahaman bahawa ukhuwah itu melebihi batas-batas kekeluargaan sedarah seibu, sehingga saudara seiman adalah bagai sebuah tubuh yang jikalau ada bahagian tubuh itu yang sakit maka bahagian tubuh yang lain akan ikut sakit.
Penulis teringat akan satu kata-kata coretan Hilal Asyraf dalam buku 'Fanzuru'. Beliau mencoretkan bahawa apakah yang menjadikan ukhuwah itu indah? Jawapannya adalah pengorbanan. Dengan pengorbanan kita terhadap sahabatlah yang akan menjadikan kita lebih tenang ketika bersamanya. Bukankah kita tidak patut bersahabat dengannya kerana kelebihannya? Sahabat kita juga adalah manusia biasa yang tidak dibekalkan dengan kesempurnaan, maka kitalah yang bertanggungjawab mengorbankan diri untuk melengkapkan kekurangannya itu. 
Teringat satu kisah di zaman hijrah Rasulullah saw yang mana Abdurrahman bin Auf telah berhijrah dan beliau disambut oleh seorang pemuda Ansar. Melihatkan Abdurrahman bin Auf tidak mempunyai satu harta pun, maka dengan senang hati beruntaikan aqidah Islamiyyah, pemuda tadi telah menawarkan kepada Abdurrahman bin Auf akan isterinya. Pemuda tersebut berkata: wahai saudaraku! Daripada kalangan-kalangan isteriku ini, pilihlah yang paling muda untuk menjadi penemanmu. Subhanallah, betapa tingginya tahap ukhuwah antara sahabat di zaman Rasulullah dan betapa hebatnya tarbiyah Rasulullah apabila mampu melahirkan sahabat yang sanggup berkorban sedemikian rupa..apakah kita mampu melakukannya? tepuk dada tanya iman..=)

Benarlah ukhuwah itu bukan sekadar kata-kata yang mudah meluncur dari bibir tetapi ukhuwah itu memerlukan penghayatan dan pembuktian dari sudut amalan insani. Jika kita sekadar melafazkannya tetapi amalan kita tidak melambangkan ukhuwah pun maka ikhlaskah kita dalam berukhuwah?