Saturday 30 June 2012

~ Dia Pasti Ada ~ (episod 4)

          Tepat pukul 9 malam, Lutfi menelefonku. Beiring doa didalam hatiku agar semuanya dipermudahkan, aku mengangkatnya. "Assalamua'laikum..buat apa permaisuri hati?" ceria suara Lutfi. "Wa'alaikumussalam." ringkas jawapanku. Berbalut rasa tidak senang ganti diri yang ditujukan buatku. "Kata tadi ada perkara nak bincang. Apa dia?" tanyanya ingin tahu. "Tak apalah. Enta nk bincang apa petang tadi, enta mulakan dulu." aku tidak mahu Lutfi akan kehilangan bicara saat dia mendengar terlebih dahulu apa yang ingin aku katakan. "Oh tidak, tak ada apa-apa. Ana sekadar ingin bertanya khabar. Memastikan permaisuri hati ana ni sihat walafiat." Lutfi menyatakan tujuannya menelefonku petang tadi. Rutin hariannya, menelefonku sekadar bertanya khabar. Tanpa ada hal mustahak dan penting untuk dibincangkan. Sesuatu yang aku rasa tidak perlu dizahirkan. Simpan sahaja segalanya saat aku benar-benar menjadi miliknya. Jangan hanyut dengan mainan nafsu yang hanya membelai jiwa untuk ralit dengan rasa cinta yang masih belum halal. Bukan cinta begini yang aku dambakan. Bukan sama sekali. 
          "Hmm, sebelum bercerita panjang, ana mohon kemaafan terlebih dahulu. Mungkin apa yang ana luahkan ini akan mengejutkan enta." aku memulakan bicara. "Bunyi macam penting saja. Ana bersedia mendengar." Balas Lutfi semakin ingin tahu. Suaranya sudah mula serius. "Ana dah buat keputusan, ana tak boleh teruskan hubungan kita ini. Ana sudah berfikir panjang, bukan sebab enta tak baik tetapi bukan ana yang terbaik untuk enta. Ana tak mampu untuk memenuhi kriteria isteri yang enta inginkan. Impian kita tidak sama. Ana tidak mampu melepaskan ikatan perjuangan yang sudah ana simpul mati dalam diri ana. Ana tidak mahu mengorbankannya hanya kerana sebuah perkahwinan. Hanya ini yang memisahkan kita. Sekali lagi ana mohon sejuta kemaafan." ringkas penjelasanku. Tetapi aku pasti cukup jelas isinya. Sebab hal ini bukan pertama kali kami bincangkan. Bezanya malam ini, aku nekad dengan keputusanku. Aku yang memberinya kata dua. Talian sepi seketika. Tiada butir bicara Lutfi sampai ke corong telingaku. Aku tidak mahu membayangkan wajahnya. Tidak mahu ada apa-apa yang akan mengubah keputusanku.
          "Kalau itu permintaan enti, ana tak boleh kata apa-apa lagi. Ana akur semuanya. Ana terima ini sebagai suratan takdir. Jodoh kita tiada. Semoga enti bertemu dengan insan yang sepadan. Punya aspirasi dan impian yang sama." Lutfi akhirnya bersuara. Nadanya tidak lagi ceria. Berbaur kesal dan kecewa. "Terima kasih atas doanya. Sekali lagi ana mohon maaf sangat-sangat." aku mengulangi permintaan maafku. Tidak mahu ada garis luka dijiwanya walau aku tahu itu mustahil. "Ana pun sama. Maaf untuk segalanya. Assalamua'laikum." Lutfi menamatkan perbualan. Ada getar dihujung suaranya. Aku terkedu menggenggam telefon bimbitku. Tidak menyangka seringkas itu perbualan kami. Tanpa pujuk rayu dan hujah balas. Jauh di sudut hati, aku terus berdoa, jangan ada benci antara aku dan Lutfi. Apatah lagi aku menamatkan perhubungan yang sudah sangat hampir ke gerbang perkahwinan ini. Ada juga terbit rasa bersalah di hatiku terutama ketika mendengar suara Lutfi yang tidak mampu menyembunyikan kekecewaannya. Namun aku sudah tidak boleh berpatah kembali lagi. Jalan inilah yang terbaik untukku. Hasil musyawarah dengan kedua orang tuaku dan istikharah berulang kali dengan Sang Pencipta. Tiada ragu lagi. 
          Aku menarik nafas dalam dan menghembusnya perlahan. Syukur Allah permudahkan segalanya. Aku kini bebas dari resah jiwa dan beban minda. Aku boleh fokus sepenuhnya pada amanah dakwah. Tugas dakwah melebihi masa yang ada. Tiada ruang untuk aku bermain-main dengan masa yang berlalu tanpa mungkin diputar ganti. Sebelum mata terlena malam itu, sempat aku renung rembulan dan bintang bercahaya. Tiada lagi wajah Lutfi. Wajah siapa yang akan mengisi taman hati, aku juga tidak pasti. Tetapi aku yakin, dia akan hadir di sisi. Dia yang akan memimpin tanganku berlari berkejaran dimedan dakwah ini. Hingga kami akan berhenti berehat, setelah sampai di taman syurgawi. Aku pasti, dia ada!

*sharing is caring: dipetik dr majalah tarbawi - 60 tahun mempersada gerakan.
Sekian..=)

No comments:

Post a Comment