Friday, 2 November 2012

Mereka pilihan Allah..

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamua'laikum warahmatullah wabarakatuh.

Alhamdulillah thummal hamdulillah, dengan izin Allah dapat jgak mengupdate n3 di blog yg sudah bersawang ini..hehe. nak dikatakan sibuk dengan urusan seharian, ada orang yang lagi sibuk, Hassan Al-Banna pun seorang pejuang yang sangat sibuk tetapi masih mampu mengatur urusannya dengan begitu baik sehingga anak-anaknya tidak pernah terasa asing dengannya, Subhanallah, beliau begitu mengamalkan muwasafat tarbiyah yang 10 tu..huhu. sebenarnya penulis bukan sibuk sangat tp sebab kemalasan melanda diri menyebabkan teratak Tinta Hati ni dah bersawang, (lepas ni nk pegi kedai beli penyapu sawang =P). Ape-ape pun segala puji bagi Allah yang memilih dan menggerakkan hati penulis untuk mengupdate n3, tanpa bimbingan hati daripada Allah, penulis tidak akan mencoret n3 disini kerana semuanya berlaku dengan izin dan bimbingan Allah jua..=)



Apabila disebut bimbingan Allah ni, kebelakangan ni penulis kerap menyedari betapa Allah memilih hamba-hambaNya yang nak diberi kebaikan oleh Allah. Terasa diri sangat bertuah, uhuuu..Nak diceritakan, hari khamis yang lepas penulis menyertai program usrah wida' di salah sebuah sekolah, usrahnya sudah berjalan sejak bulan Mac yang lepas, kiranya program tu adalah penutup usrah kami. Penulis dan 7 orang lagi rakan muslimat yang lain berperanan sebagai naqibah la walau ilmu x banyak mana tapi terasa jgak tanggungjawab untuk mengislah ummah. Kami 8 orang terpilih sebagai naqibah daripada ramai lagi yang lain..memang pilihan Allah la yang mengetahui tiap sesuatu. Pada hari tersebut, dapat jgak melepaskan kerinduan pada adik-adik setelah berapa lama tak jumpa. Excited muka setiap sorang..hehe. Dipendekkan ceritanya, program berlangsung sehingga jam 12.30 tengah hari. Selepas tu, kami fesi-fesi semua duduk berbual dengan sorang ustazah ni. Kalau tak silap Puan Aslaniah namanya. Penulis suka berbicara dengan ustazah ni, beliau seorang yang tenang namun disebalik ketenangan tu, nampak jugak riak keresahan dari air mukanya. Beliau berkata: "budak-budak ni macam kanak-kanak lagi, nak cari seorang yang ada sifat kepimpinan pun susah, tak macam kita dulu kan..kalau boleh biarlah budak-budak aliran KAA (kelas aliran agama) ni jadi contoh pada pelajar-pelajar lain dari segi akhlaqnya, akademiknya, semua la. Mereka bagus tapi tu lah, banyak main. Ustazah harap sangat abang-abang dan akak-akak yang ada ni la dapat bentuk pelajar dan tegur mana yang patut, kami ni ustazah-ustazah nak tegur, dah macam mak dieorang dah, pelajar dah tak nak dengar." Setelah berbual panjang dengan ustazah, barulah penulis dan rakan-rakan tahu lebih dalam pasal latar belakang pelajar-pelajar ni. Menurut ustazah juga, mereka pelajar-pelajar ni kena lalui ujian saringan dahulu sebelum memasuki kelas KAA. Hanya yang terpilih sahaja dapat masuk. Alhamdulillah. penulis kagum pada adik-adik ni, sebab daripada ramai-ramai pelajar nak mendaftar tu, Allah pilih mereka untuk menduduki ujian saringan dan kemudian Allah pilih lagi untuk belajar agama melalui kelas KAA, untuk mendalami agama la kiranya. Cuma pada pandangan penulis, adik-adik penulis ni masih tak matang dan terikut-ikut dengan persekitaran. Islam itu sangat mudah dinampak. Pada penulis, tak kisah la kalau ada seorang atau pun 2,3 orang dalam satu kelas tu yang mengamalkan Islam dan membawa imej Islam, mesti kelas tu akan turut terkena tempiasnya, penulis pun cakap melalui pengalaman penulis masa sekolah-sekolah dulu. Lagi satu, penulis sangat kagum pada ustazah-ustazah yang menjalankan peranan mereka, apabila mereka merasakan mereka tidak mampu untuk menegur maka mereka adakan link dengan abang-abang dan akak-akak ni untuk bimbing pelajar. Penulis tersentuh dengan kata-kata Puan Aslaniah, katanya: "apanila kita duduk dalam suasana yang penuh tarbiyah, kita takkan berasa yang tarbiyah itu satu anugerah tapi bila kita dah jauh dari tarbiyah, duduk dalam suasana yang tak ada tarbiyah, barulah kita akan tercari-cari semula tarbiyah tu." Benarlah, bahkan penulis bersyukur Allah sentiasa tempatkan penulis di tempat yang ada tarbiyah (mungkin sebab Allah tahu yang penulis ni sangat lemah kalau tak ditarbiyah) bermula dari Pasti Al-Hidayah, kemudian ke Sekolah Menengah Agama Chenor, kemudian ke Kulliyah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakr, dan sekarang di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, alhamdulillah =).Ini semua memang pilihan Allah!! Subhanallah yang sebaik-baik perancang. Wamakaru wamakarallah, wallahu khairul maakirin.

" TIADA MANUSIA YANG LUAR BIASA MELAINKAN MENUSIA YANG MENGENAL ISLAM MELALUI TARBIYAH "

USRAH- Untuk Saya Rasa Allah Hebat!

Wallahua'lam..

Monday, 2 July 2012

~ Menghayati "contengan jalanan" ~

Assalamua'laikum warahmatullah wabarakatuh.
" Contengan jalanan, coretan pengalaman perjalanan cari Tuhan.."





          Alhamdulillah, dah habis dah baca buku ni. Sebuah novel yang mengisahkan tentang perjalanan mencari Allah, dan berjaya membawa pembaca seperti penulis blog ni menyusuri perjalanan yang sama mencari Allah. Memang tak tahu kenapa novel ni meninggalkan kesan dihati. Jauh disudut hati, seketul daging ini menangisi kekhilafan diri yang makin jauh dari erti sebenar hidup dan jauhnya dari erti luas kehidupan bertuhan. 
          Novel ini mengisahkan tentang Muhammad Affendy (Fend), Ku Kamaruzzaman dan Muhammad Irsyad (Chad) merangkap sepupu fend dalam perjalanan mencari erti hidup yang sebenar. Kita memang tak boleh nak jangka apa yang telah Allah tetapkan dalam hidup ni. Kalau Allah nak bagi hidayah, Dia akan bagi dengan apa jua cara sekalipun. Fend, seorang yang tidak banyak cakap dan memang setia dengan gitar kesayangannya. Peminat muzik-muzik rock klasik dari barat, sama seperti Ku Kamaruzzaman. Satu hari, dia terjumpa seorang wanita bernama Amalia yang banyak menimbulkan soalan-soalan random dalam kepalanya. Satu soalan utama yang perlukan jawapan adalah: THE MAN WHO DECIDED TO CHANGE ON THE TWELFTH HOUR DIED ON THE ELEVENTH. Apa maknanya tu?
          Perjalanan hidup dari hari ke hari bagai ingin menyingkap jawapan bagi persoalan tersebut. Dari seorang yang berasa puas dengan kehidupan sosialnya, dan berasakan tiada apa yang bakal dikesalkan sekiranya dia mati, tanpa dia sedari dia tidak boleh lari dari manual yang ditetapkan oleh Allah. Sehinggalah dia ditakdirkan mengikut sepupunya Chad yang berasa ada sesuatu yang perlu dicari untuk melengkapkan hidupnya lalu keduanya mengambil keputusan untuk backpacking ke Australia. Di bumi Allah itulah dia menemui jalan hidayahnya setelah masjid-hopping disana selama seminggu. Bulan Ramadhan yang pertama kali disambut di Australia, menemukan keduanya dengan ramai hamba Allah yang membuatnya lebih menghayati madrasah Ramadhan. Hari raya menjelang tiba dan keduanya pulang untuk menyambut syawal di kampung meskipun berat untuk meninggalkan bumi tarbiyyah buat keduanya. Disanalah dia berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk al-Quran dan berjaya menghabiskan syarah 40 hadith Imam Nawawi. Setelah pulang ke kampung, tarbiyyah Ramadhan dari Australia masih lagi terasa. Sehinggalah malam syawal, keduanya berbual sehingga larut malam. Chad bersyukur dia masih berpeluang untuk berubah. Katanya syukur dia masih berkesempatan berubah walaupun 'pada jam yang ke 10'. Fend pula bersyukur dan berterima kasih kepada Chad kerana sama-sama 'mengheretnya' dalam perjalanan mencari Allah. 
          Tanggal 1 Syawal, menyaksikan episod duka dalam hidup Fend, Chad sudah menghabiskan 'jam yang ke 11 nya'. Dia meninggal akibat kemalangan setelah selesai mengerjakan solat zohor. haa, nak tau lagi, beli novel ni dan baca sampai habis ye..tak larat dah nak jadi pengulas. =P..tapi memang novel ni membawa seribu satu rasa dalam diri, rasa menyesal, ingin kembali ke pangkal jalan agar nanti bila sampai 'jam yang ke 11' tu, tak la menyesal. Hayatilah sikit-sikit kata tarbiyyah dari HLOVATE ni..
" My similitude and that of the life of this world is that of a traveller who took a rest at mid-day under a shade of a tree and then left it." (Narrated by Ahmad, At-Tirmidzi, Ibn Majah and Al-Hakiim)
" Berkata Yahya ibnu Mu'adz (seorang ahli sufi): Aku tidak akan suruh kamu tinggalkan kehidupan duniawi, tetapi aku menyuruh kamu untuk tinggalkan dosa. Tinggalkan duniawi itu terpuji tetapi tinggalkan dosa itu satu tanggungjawab. Dan tinggalkan dosa itu lebih baik dari tinggalkan duniawi."




          " Read and heed" itulah kata-kata yang diberikan Fend kepada Ku Kamaruzzaman agar sahabatnya itu turut menemui erti hidup. Walaupun jalannya berbeza, tempat tarbiyyahnya berbeza tetapi Ku Kamaruzzaman tetap berubah. Senang cerita baca je lah kan..Mesejnya di sini, mungkin buku ni salah satu wasilah yang membuatkan diri ini sedar dan berubah, dan tak semestinya orang lain akan berubah sebab buku ni. Janji semua dapat hidayah Allah dan berubah sebelum terlambat sebab kita tak tahu bila 'jam yang ke 11' kita tu.
Wallahua'lam..=) (Doakan kita sama-sama berada dalam kalangan hamba Allah yang terpilih..)
~ Verily, man is in loss. Except those who accepted faith, and did good deeds and urged one another to the truth-and urged one another to have patience. ~ (al-A'sr: 2-3)


Semoga buku ni dapat menjadi saham akhirat buat penulisnya.aminn..
Sekian..(^_^)



sumber:  24 hours in the life of muslim. ( Harun Yahya)
              contengan jalanan (Hlovate) 

Saturday, 30 June 2012

~ Dia Pasti Ada ~ (episod 4)

          Tepat pukul 9 malam, Lutfi menelefonku. Beiring doa didalam hatiku agar semuanya dipermudahkan, aku mengangkatnya. "Assalamua'laikum..buat apa permaisuri hati?" ceria suara Lutfi. "Wa'alaikumussalam." ringkas jawapanku. Berbalut rasa tidak senang ganti diri yang ditujukan buatku. "Kata tadi ada perkara nak bincang. Apa dia?" tanyanya ingin tahu. "Tak apalah. Enta nk bincang apa petang tadi, enta mulakan dulu." aku tidak mahu Lutfi akan kehilangan bicara saat dia mendengar terlebih dahulu apa yang ingin aku katakan. "Oh tidak, tak ada apa-apa. Ana sekadar ingin bertanya khabar. Memastikan permaisuri hati ana ni sihat walafiat." Lutfi menyatakan tujuannya menelefonku petang tadi. Rutin hariannya, menelefonku sekadar bertanya khabar. Tanpa ada hal mustahak dan penting untuk dibincangkan. Sesuatu yang aku rasa tidak perlu dizahirkan. Simpan sahaja segalanya saat aku benar-benar menjadi miliknya. Jangan hanyut dengan mainan nafsu yang hanya membelai jiwa untuk ralit dengan rasa cinta yang masih belum halal. Bukan cinta begini yang aku dambakan. Bukan sama sekali. 
          "Hmm, sebelum bercerita panjang, ana mohon kemaafan terlebih dahulu. Mungkin apa yang ana luahkan ini akan mengejutkan enta." aku memulakan bicara. "Bunyi macam penting saja. Ana bersedia mendengar." Balas Lutfi semakin ingin tahu. Suaranya sudah mula serius. "Ana dah buat keputusan, ana tak boleh teruskan hubungan kita ini. Ana sudah berfikir panjang, bukan sebab enta tak baik tetapi bukan ana yang terbaik untuk enta. Ana tak mampu untuk memenuhi kriteria isteri yang enta inginkan. Impian kita tidak sama. Ana tidak mampu melepaskan ikatan perjuangan yang sudah ana simpul mati dalam diri ana. Ana tidak mahu mengorbankannya hanya kerana sebuah perkahwinan. Hanya ini yang memisahkan kita. Sekali lagi ana mohon sejuta kemaafan." ringkas penjelasanku. Tetapi aku pasti cukup jelas isinya. Sebab hal ini bukan pertama kali kami bincangkan. Bezanya malam ini, aku nekad dengan keputusanku. Aku yang memberinya kata dua. Talian sepi seketika. Tiada butir bicara Lutfi sampai ke corong telingaku. Aku tidak mahu membayangkan wajahnya. Tidak mahu ada apa-apa yang akan mengubah keputusanku.
          "Kalau itu permintaan enti, ana tak boleh kata apa-apa lagi. Ana akur semuanya. Ana terima ini sebagai suratan takdir. Jodoh kita tiada. Semoga enti bertemu dengan insan yang sepadan. Punya aspirasi dan impian yang sama." Lutfi akhirnya bersuara. Nadanya tidak lagi ceria. Berbaur kesal dan kecewa. "Terima kasih atas doanya. Sekali lagi ana mohon maaf sangat-sangat." aku mengulangi permintaan maafku. Tidak mahu ada garis luka dijiwanya walau aku tahu itu mustahil. "Ana pun sama. Maaf untuk segalanya. Assalamua'laikum." Lutfi menamatkan perbualan. Ada getar dihujung suaranya. Aku terkedu menggenggam telefon bimbitku. Tidak menyangka seringkas itu perbualan kami. Tanpa pujuk rayu dan hujah balas. Jauh di sudut hati, aku terus berdoa, jangan ada benci antara aku dan Lutfi. Apatah lagi aku menamatkan perhubungan yang sudah sangat hampir ke gerbang perkahwinan ini. Ada juga terbit rasa bersalah di hatiku terutama ketika mendengar suara Lutfi yang tidak mampu menyembunyikan kekecewaannya. Namun aku sudah tidak boleh berpatah kembali lagi. Jalan inilah yang terbaik untukku. Hasil musyawarah dengan kedua orang tuaku dan istikharah berulang kali dengan Sang Pencipta. Tiada ragu lagi. 
          Aku menarik nafas dalam dan menghembusnya perlahan. Syukur Allah permudahkan segalanya. Aku kini bebas dari resah jiwa dan beban minda. Aku boleh fokus sepenuhnya pada amanah dakwah. Tugas dakwah melebihi masa yang ada. Tiada ruang untuk aku bermain-main dengan masa yang berlalu tanpa mungkin diputar ganti. Sebelum mata terlena malam itu, sempat aku renung rembulan dan bintang bercahaya. Tiada lagi wajah Lutfi. Wajah siapa yang akan mengisi taman hati, aku juga tidak pasti. Tetapi aku yakin, dia akan hadir di sisi. Dia yang akan memimpin tanganku berlari berkejaran dimedan dakwah ini. Hingga kami akan berhenti berehat, setelah sampai di taman syurgawi. Aku pasti, dia ada!

*sharing is caring: dipetik dr majalah tarbawi - 60 tahun mempersada gerakan.
Sekian..=)

Saturday, 28 April 2012

~ Dia Pasti Ada ~ (episod 3)

          Senja itu, munajatku panjang di tikar sejadah. Sengaja ku lamakan wiridku. Alunan al-Qur'an juga aku banyakkan. Biasanya aku mendisiplinkan diri, usai maghrib aku harus membaca sekurang-kurangnya semuka al-Qur'an beserta terjemahannya. Mentadabbur kalam suci itu biar menyuluh terang lorong kehidupan. Jangan tersasar haluan dan silap langkah. Jalan ini masih panjang dan jauh. Apatah lagi dipenuhi duri-duri yang mudah mensasarkan laluan menuju Firdaus yang indah. Menenangkan gundah di hati, berkumandang azan Isyak baru aku sudahi pembacaan Qur'anku. Terasa ketenangan memenuhi sukma. Kepala terasa sedikit ringan dari beban minda dan ralat jiwa.
           Aku sudah semakin bersedia untuk meluah rasa. Istikharahku beberapa hari lepas juga memberi isyarat bahawa ini adalah keputusan yang terbaik harus ku ambil. Abah dan emak sudah aku maklumkan semasa kami makan malam kelmarin. "Kenapa tiba-tiba buat keputusan mengejut macam ni?" soal abah sedikit tegas. Air muka mak juga kelihatan keruh. Mujur nasi sudah dijamah. Kalau tidak, mahu juga terbantut selera orang tuaku mendengar kejutan ini. Namun aku menjelaskan satu persatu. Tanpa selindung, jelas dan nyata. "Tapi Lutfi tu kan jurusan agama, takkan dia nak bina keluarga yang langgar syariat. Lagipun Zahra bukan muda lagi. Kawan sebaya Zahra semua dah kahwin." Komen abah lagi sebagai tanda kurang senang dengan tindakanku. Baginya usiaku sudah agak terlewat untuk terus membujang. "Memang benar abah, Zahra tak nafikan. Lutfi seorang yang baik. Tetapi Zahra mahukan yang lebih baik. Zahra bukan sekadar nak membina Baitul Muslim tetapi Zahra nak lebih lagi iaitu Zahra nak membina Baitul Dakwah. Insya-Allah, Zahra yakin Allah maha mengetahui. Soal jodoh, sudah tersurat. Zahra cuma minta mak dan abah doakan Zahra dimudahkan urusan jodoh. Bertemu seseorang yang dapat bersama dengan Zahra menyusuri jalan dakwah ini." Jawabku jujur.
           Tidak perlu aku menyembunyikan isi hatiku. Abah waliku. Dia berhak tahu dan dia juga pasti inginkan yang terbaik untuk anaknya ini. "Sebenarnya mak juga terkejut dengan keputusan mendadak ini. Apatah lagi Zahra sudah berjanji untuk menerima Lutfi. Mak tidak mahu orang kata kita tidak berpegang pada janji. Tetapi ini soal hidup dan masa depan Zahra. Sekali Zahra bersetuju memilih Lutfi sebagai suami, kesetiaan dan ketaatan Zahra sudah tidak boleh berbelah bahagi lagi. Perkahwinan adalah jambatan Zahra menuju redhaNya. Redha Allah beriring denga redha suami. Jika dari awal lagi Zahra yakin tidak punya keserasian dan kesefahaman terutamanya melibatkan soal fikrah yang bersangkut paut dengan agama, maka memang wajar Zahra menilainya kembali. Mak ikut saja keputusan Zahra. Insya-Allah, mak sentiasa doakan yang terbaik untuk anak mak." Panjang lebar mak menghuraikan pendapatnya. Pandangan yang menyejukkan jiwaku. Ternyata naluri keibuannya dan naluri kewanitaan yang kami kongsikan bersama mudah untuk mak memahami sepenuhnya situasiku. Aku lantas memeluknya erat. Membisikkan ke telinganya, terus doakan agar aku kekal dan istiqamah dalam jalan perjuangan ini. Aku mahu menjadi seperti Saidatina Khadijah, pembantu setia perjuangan suami tercinta hingga ke hujung nyawa.
            Abah juga akhirnya mengangguk tanda setuju. Keputusan kami capai di meja makan malam itu. Sedari kecil aku memang diasuh untuk berbincang terlebih dahulu dengan mak dan abah walau sekecil dan sebesar mana masalah itu. Mak kata, keputusan akan lebih berkat kalau dibawa berbincang. Cuma kedua orang tuaku mengingatkan aku berulang kali, khabarkan kepada Lutfi mengenai keputusan mengejut itu dengan cara baik. Apatah lagi, dia dan keluarganya sudah merancang untuk meminangku bulan hadapan. Mujur juga aku tidak mahu bertunang tempoh hari. Hal sebegini yang aku khuatirkan terjadi. Apatah lagi aku menerimanya tempoh hari sebelum berfikir masak-masak. Hanya kerana permintaan abah. Hanya kerana itu.



*sharing is caring: dipetik dr majalah tarbawi pas- 60 tahun mempersada gerakan.
-akan bersambung...=)

Monday, 6 February 2012

~ Dia Pasti Ada..~ (episod 2)

          Saat asyik mengimbau perbualanku dengan Anis tempoh hari, telefonku berdering. Nada dering InsyaAllah, alunan Maher Zain aku biarkan seketika. Malas benar bangun melangkah menggapai telefon bimbit di hujung katil. Sekali lagi telefon itu berdering. Aku gagahkan jua bangkit dan mencapainya. Tertera nama Lutfi di skrin telefon. Dengan hati yang berat aku menjawabnya. " Assalamua'laikum warahmatullah. Kenapa tak angkat?" suara Lutfi berbaur keresahan. "Wa'alaikumussalam warahmatullah..handphone duk jauh tadi." ringkas jawapanku. "Allah, ana ada hal kejap, lepas Isyak ana call balik. Gantung handphone di leher, tak lah susah nak angkat." riang nada Lutfi di hujung talian. "Insya-Allah,ana pun ada hal nak bincang ngan enta." Aku menjawab ringkas.
          Pemuda lulusan timur tengah itu sememangnya seorang yang sangat prihatin. Mudah mempamerkan kerisauan dan mempamerkan sayangnya. Namun naluri wanitaku tidak senang dengan sikap sedemikian. Aku tidak seperti kebanyakan wanita, mudah cair dan hanyut dengan ayat-ayat cinta yang dilafaz penuh romantik dari  Sang Arjuna. Sangat tidak selesa dibelai dengan kata manja saat segalanya belum halal dizahirkan. Sungguh aku rimas dan dibalut rasa berdosa. Dalam usrah, lantang bersuara menegur anak-anak usrah agar menjaga ikhtilat. Jangan sampai cinta fitrah menjadi fitnah. Jangan sampai hilang keberkatan dalam bahtera yang bakal dibina. Apatah lagi bahtera itu bahtera dakwah. Penuh dengan amanah dan tanggungjawab besar. Bukan sahaja untuk membina sebuah keluarga bahagia, tetapi menjadikan keluarga pemangkin untuk terus bergerak dalam arena dakwah. Suami imam yang bukan sekadar memimpin solat, tetapi mampu membawa keluarga memimpin ummah. Si isteri pula bukan sekadar menjadi solehah kerana taat pada suami dan menjadi ibu mithali kepada cahaya mata, tetapi mampu memimpin para isteri dan ibu yang lain untuk turut sama menjadi isteri solehah dan ibu mithali. Bahkan zuriat yang dilahirkan telah diasuh dan terasuh jiwanya dengan roh dan semangat perjuangan untuk menegakkan Dinullah agar terus memayungi buana. 
          Tatkala melantunkan ayat kedua dan ketiga Surah As-Saff, ' Hai orang-orang yang beriman,mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian disisi Allah sekiranya kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.' Bertambah sesak nafasku. Bergetar jiwaku dengan ancaman kebencian itu. Apalah erti dunia dan seisinya andai hidup berteman kebencian Sang Pencipta. Tanpa kasih sayang dan rahmatNya, pasti saja hidup seakan mati yang belum mati. Sesalnya, Lutfi tidak memahami aspirasi diriku. Dia tidak mahu merealisasikan impian ini. Dia sekadar mahu membina Baitul Muslim. Tidak perlu berfikir soal ummah. Memadailah sekadar menjaga keharmonian rumahtangga. Katanya takut hilang fokus pada keluarga. Isteri tempatnya dirumah semata. Jaga dan didik anak-anak, jaga makan pakai suami sudah mencukupi. Acapkali juga aku menerangkan beserta hujah dan bukti nyata. Meminta dia cuba memahami. Memberi gambaran akan jauhnya ummah hari ini dari syariatullah. Islam sekadar agama. Bukan cara hidup yang menjadi pakaian peribadi. Dengan latar belakang pendidikan agama sepenuhnya, aku menyangka mudah baginya memahami senario semasa. Anggapanku meleset sama sekali. Bahkan dia pula menasihatiku. Tidak payah melibatkan diri dengan hal yang sebegini. Semua ini politik katanya. Politik itu tiada yang betul dan penuh dengan kotoran dari tangan-tangan manusia. Aku semakin kecewa dengan sikapnya. Fikrahnya jauh berbeza dariku. Aku sudah sebati dengan tarbiyyah dari murabbiku. Dalam usrah kami dididik menjadi muslim yang peduli dengan ummah.  Dalam usrah kami ditarbiyyah hidup bukan untuk diri dan keluarga semata. Kalam perjuangan ringan meniti di bibir kami. Saat kami rasa lemah dan mula berputus asa, kami akan digegarkan dengan ayat-ayat ancaman Allah pada yang lalai dalam menegakkan agamaNya. Kami risau Allah gantikan kami dengan yang lebih baik. Kami khuatir, tidak lagi berada dalam saf perjuangan ini.






*sharing is caring: dipetik dr majalah tarbawi pas- 60 tahun mempersada gerakan.
-akan bersambung...=)

Friday, 27 January 2012

~ Dia Pasti Ada..~

          Mata masih tajam terpaku di depan skrin laptop 14 inci. Laptop yang berbudi. Aku beli usai mendapat gaji pertama. Sebagai kenangan peribadi. Hajat hati mahu menyudahkan perincian modul Program 'Offline With Couple' khusus untuk remaja yang akan dilaksanakan dua minggu lagi. Dahi yang tidak berkerut terus diurut. Mengharap idea terpancar dari minda yang lemas. Mana mungkin!
          Aku tidak mampu membendung kegusaranku. Peluang bertemu Anisah atas urusan program ini, aku manfaatkan sebaiknya. "Anis, ana nak tanya pandangan enti sikit." Aku menyambung perbincangan kami pada isu yang lebih peribadi. "Sejak bila sopan sangat ni? Biasanya terjah soalan tak ada pun minta-minta izin." Anis menjawab pertanyaanku dengan gurauan mesra. 
          Anisah, sahabatku sedari zaman sekolah lagi. Teman sama berusrah, sama ditarbiyyah dan hari ini, sama berjuang. Sikapnya yang ramah sesuai dengan namanya. Tidak pernah lokek memberi pandangan walau dia saja mungkin tidak banyak pengalaman. Tetapi pembacaannya yang banyak meyakinkan aku untuk berkongsi resah. Dia sentiasa punya idea yang setidaknya mampu membantu meleraikan kusut jiwa ini. Aku sudah tidak mampu menanggungnya. Penat!
         "Ana dah buat keputusan, ana nak putuskan hubungan dengan Lutfi." datar nadaku. "Haa? Bulan depan dah nak nikah kan?" Anis terkejut seperti yang aku jangkakan. Aku mengangguk lemah. Tidak mampu aku tatap wajah Anis yang kehairanan. Bebola mataku tepat memandang meja yang berselerakan dengan kertas kerja program. "Zahra, apa masalahnya? cerita dengan jelas dan terang. Insya-Allah ana akan berikan pandangan yang terbaik." Jujur Anis mahu membantuku. "Ana rasa Lutfi bukan yang terbaik untuk ana. Jiwa kami tidak serasi, matlamat kami tidak sama, impian juga berbeza. Ana penat membohongi diri sendiri. Menerimanya atas desakan abah yang risau anaknya masih belum berteman hidup." Luahku tulus dari hati. "Tak serasi macam mana maksud enti? Kenapa selama ini ana lihat enti tak ada masalah pun. Atau enti sudah ada pilihan lain?" Tanya Anis ingin penjelasan. "Bukan sebab ana ada pilihan lain. Banyak perbezaan antara ana dengan Lutfi tapi ana tak boleh ceritakan semuanya. Ana minta maaf." Aku tidak mahu membuka aib Lutfi pada Anisah. "Baiklah, ana faham dan hormati pendirian enti. Cuma yang mampu ana nasihatkan, istikharah kembali. Mohon dengan tulus dan bersungguh, Allah tunjukkan jalan keluar pada kerumitan ini. Saat dia melamar mahu jadikan enti suri hatinya, enti terima dalam keadaan yang baik. Jadi, andainya ketenangan enti hanya akan kembali dengan memutuskan pertunangan ini, tolaklah dengan cara yang baik juga. Jelaskan pada abah dan mak. Jangan sampai keresahan jiwa enti mengeruhkan hubungan dua keluarga. Ana yakin enti seorang yang rasional, bertindak dengan akal yang waras dan hati yang bersih. Insya-Allah, keputusan enti nanti natijahkan sesuatu yang positif. Doa ana iring." Tutur Anis satu persatu. Bergenang kelopak mataku. 
          Berbalam kulihat wajah mulus Anis. Nasihat sahabatku yang penuh hikmah. Aku menggenggam tangannya erat. Tidak terlafaz ucapan terima kasih, hanya gerak laku itu mampu kuzahirkan.

*sharing is caring: dipetik dr majalah tarbawi pas- 60 tahun mempersada gerakan.
-akan bersambung...=)