Monday 6 February 2012

~ Dia Pasti Ada..~ (episod 2)

          Saat asyik mengimbau perbualanku dengan Anis tempoh hari, telefonku berdering. Nada dering InsyaAllah, alunan Maher Zain aku biarkan seketika. Malas benar bangun melangkah menggapai telefon bimbit di hujung katil. Sekali lagi telefon itu berdering. Aku gagahkan jua bangkit dan mencapainya. Tertera nama Lutfi di skrin telefon. Dengan hati yang berat aku menjawabnya. " Assalamua'laikum warahmatullah. Kenapa tak angkat?" suara Lutfi berbaur keresahan. "Wa'alaikumussalam warahmatullah..handphone duk jauh tadi." ringkas jawapanku. "Allah, ana ada hal kejap, lepas Isyak ana call balik. Gantung handphone di leher, tak lah susah nak angkat." riang nada Lutfi di hujung talian. "Insya-Allah,ana pun ada hal nak bincang ngan enta." Aku menjawab ringkas.
          Pemuda lulusan timur tengah itu sememangnya seorang yang sangat prihatin. Mudah mempamerkan kerisauan dan mempamerkan sayangnya. Namun naluri wanitaku tidak senang dengan sikap sedemikian. Aku tidak seperti kebanyakan wanita, mudah cair dan hanyut dengan ayat-ayat cinta yang dilafaz penuh romantik dari  Sang Arjuna. Sangat tidak selesa dibelai dengan kata manja saat segalanya belum halal dizahirkan. Sungguh aku rimas dan dibalut rasa berdosa. Dalam usrah, lantang bersuara menegur anak-anak usrah agar menjaga ikhtilat. Jangan sampai cinta fitrah menjadi fitnah. Jangan sampai hilang keberkatan dalam bahtera yang bakal dibina. Apatah lagi bahtera itu bahtera dakwah. Penuh dengan amanah dan tanggungjawab besar. Bukan sahaja untuk membina sebuah keluarga bahagia, tetapi menjadikan keluarga pemangkin untuk terus bergerak dalam arena dakwah. Suami imam yang bukan sekadar memimpin solat, tetapi mampu membawa keluarga memimpin ummah. Si isteri pula bukan sekadar menjadi solehah kerana taat pada suami dan menjadi ibu mithali kepada cahaya mata, tetapi mampu memimpin para isteri dan ibu yang lain untuk turut sama menjadi isteri solehah dan ibu mithali. Bahkan zuriat yang dilahirkan telah diasuh dan terasuh jiwanya dengan roh dan semangat perjuangan untuk menegakkan Dinullah agar terus memayungi buana. 
          Tatkala melantunkan ayat kedua dan ketiga Surah As-Saff, ' Hai orang-orang yang beriman,mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian disisi Allah sekiranya kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.' Bertambah sesak nafasku. Bergetar jiwaku dengan ancaman kebencian itu. Apalah erti dunia dan seisinya andai hidup berteman kebencian Sang Pencipta. Tanpa kasih sayang dan rahmatNya, pasti saja hidup seakan mati yang belum mati. Sesalnya, Lutfi tidak memahami aspirasi diriku. Dia tidak mahu merealisasikan impian ini. Dia sekadar mahu membina Baitul Muslim. Tidak perlu berfikir soal ummah. Memadailah sekadar menjaga keharmonian rumahtangga. Katanya takut hilang fokus pada keluarga. Isteri tempatnya dirumah semata. Jaga dan didik anak-anak, jaga makan pakai suami sudah mencukupi. Acapkali juga aku menerangkan beserta hujah dan bukti nyata. Meminta dia cuba memahami. Memberi gambaran akan jauhnya ummah hari ini dari syariatullah. Islam sekadar agama. Bukan cara hidup yang menjadi pakaian peribadi. Dengan latar belakang pendidikan agama sepenuhnya, aku menyangka mudah baginya memahami senario semasa. Anggapanku meleset sama sekali. Bahkan dia pula menasihatiku. Tidak payah melibatkan diri dengan hal yang sebegini. Semua ini politik katanya. Politik itu tiada yang betul dan penuh dengan kotoran dari tangan-tangan manusia. Aku semakin kecewa dengan sikapnya. Fikrahnya jauh berbeza dariku. Aku sudah sebati dengan tarbiyyah dari murabbiku. Dalam usrah kami dididik menjadi muslim yang peduli dengan ummah.  Dalam usrah kami ditarbiyyah hidup bukan untuk diri dan keluarga semata. Kalam perjuangan ringan meniti di bibir kami. Saat kami rasa lemah dan mula berputus asa, kami akan digegarkan dengan ayat-ayat ancaman Allah pada yang lalai dalam menegakkan agamaNya. Kami risau Allah gantikan kami dengan yang lebih baik. Kami khuatir, tidak lagi berada dalam saf perjuangan ini.






*sharing is caring: dipetik dr majalah tarbawi pas- 60 tahun mempersada gerakan.
-akan bersambung...=)