Saturday, 28 April 2012

~ Dia Pasti Ada ~ (episod 3)

          Senja itu, munajatku panjang di tikar sejadah. Sengaja ku lamakan wiridku. Alunan al-Qur'an juga aku banyakkan. Biasanya aku mendisiplinkan diri, usai maghrib aku harus membaca sekurang-kurangnya semuka al-Qur'an beserta terjemahannya. Mentadabbur kalam suci itu biar menyuluh terang lorong kehidupan. Jangan tersasar haluan dan silap langkah. Jalan ini masih panjang dan jauh. Apatah lagi dipenuhi duri-duri yang mudah mensasarkan laluan menuju Firdaus yang indah. Menenangkan gundah di hati, berkumandang azan Isyak baru aku sudahi pembacaan Qur'anku. Terasa ketenangan memenuhi sukma. Kepala terasa sedikit ringan dari beban minda dan ralat jiwa.
           Aku sudah semakin bersedia untuk meluah rasa. Istikharahku beberapa hari lepas juga memberi isyarat bahawa ini adalah keputusan yang terbaik harus ku ambil. Abah dan emak sudah aku maklumkan semasa kami makan malam kelmarin. "Kenapa tiba-tiba buat keputusan mengejut macam ni?" soal abah sedikit tegas. Air muka mak juga kelihatan keruh. Mujur nasi sudah dijamah. Kalau tidak, mahu juga terbantut selera orang tuaku mendengar kejutan ini. Namun aku menjelaskan satu persatu. Tanpa selindung, jelas dan nyata. "Tapi Lutfi tu kan jurusan agama, takkan dia nak bina keluarga yang langgar syariat. Lagipun Zahra bukan muda lagi. Kawan sebaya Zahra semua dah kahwin." Komen abah lagi sebagai tanda kurang senang dengan tindakanku. Baginya usiaku sudah agak terlewat untuk terus membujang. "Memang benar abah, Zahra tak nafikan. Lutfi seorang yang baik. Tetapi Zahra mahukan yang lebih baik. Zahra bukan sekadar nak membina Baitul Muslim tetapi Zahra nak lebih lagi iaitu Zahra nak membina Baitul Dakwah. Insya-Allah, Zahra yakin Allah maha mengetahui. Soal jodoh, sudah tersurat. Zahra cuma minta mak dan abah doakan Zahra dimudahkan urusan jodoh. Bertemu seseorang yang dapat bersama dengan Zahra menyusuri jalan dakwah ini." Jawabku jujur.
           Tidak perlu aku menyembunyikan isi hatiku. Abah waliku. Dia berhak tahu dan dia juga pasti inginkan yang terbaik untuk anaknya ini. "Sebenarnya mak juga terkejut dengan keputusan mendadak ini. Apatah lagi Zahra sudah berjanji untuk menerima Lutfi. Mak tidak mahu orang kata kita tidak berpegang pada janji. Tetapi ini soal hidup dan masa depan Zahra. Sekali Zahra bersetuju memilih Lutfi sebagai suami, kesetiaan dan ketaatan Zahra sudah tidak boleh berbelah bahagi lagi. Perkahwinan adalah jambatan Zahra menuju redhaNya. Redha Allah beriring denga redha suami. Jika dari awal lagi Zahra yakin tidak punya keserasian dan kesefahaman terutamanya melibatkan soal fikrah yang bersangkut paut dengan agama, maka memang wajar Zahra menilainya kembali. Mak ikut saja keputusan Zahra. Insya-Allah, mak sentiasa doakan yang terbaik untuk anak mak." Panjang lebar mak menghuraikan pendapatnya. Pandangan yang menyejukkan jiwaku. Ternyata naluri keibuannya dan naluri kewanitaan yang kami kongsikan bersama mudah untuk mak memahami sepenuhnya situasiku. Aku lantas memeluknya erat. Membisikkan ke telinganya, terus doakan agar aku kekal dan istiqamah dalam jalan perjuangan ini. Aku mahu menjadi seperti Saidatina Khadijah, pembantu setia perjuangan suami tercinta hingga ke hujung nyawa.
            Abah juga akhirnya mengangguk tanda setuju. Keputusan kami capai di meja makan malam itu. Sedari kecil aku memang diasuh untuk berbincang terlebih dahulu dengan mak dan abah walau sekecil dan sebesar mana masalah itu. Mak kata, keputusan akan lebih berkat kalau dibawa berbincang. Cuma kedua orang tuaku mengingatkan aku berulang kali, khabarkan kepada Lutfi mengenai keputusan mengejut itu dengan cara baik. Apatah lagi, dia dan keluarganya sudah merancang untuk meminangku bulan hadapan. Mujur juga aku tidak mahu bertunang tempoh hari. Hal sebegini yang aku khuatirkan terjadi. Apatah lagi aku menerimanya tempoh hari sebelum berfikir masak-masak. Hanya kerana permintaan abah. Hanya kerana itu.



*sharing is caring: dipetik dr majalah tarbawi pas- 60 tahun mempersada gerakan.
-akan bersambung...=)

Monday, 6 February 2012

~ Dia Pasti Ada..~ (episod 2)

          Saat asyik mengimbau perbualanku dengan Anis tempoh hari, telefonku berdering. Nada dering InsyaAllah, alunan Maher Zain aku biarkan seketika. Malas benar bangun melangkah menggapai telefon bimbit di hujung katil. Sekali lagi telefon itu berdering. Aku gagahkan jua bangkit dan mencapainya. Tertera nama Lutfi di skrin telefon. Dengan hati yang berat aku menjawabnya. " Assalamua'laikum warahmatullah. Kenapa tak angkat?" suara Lutfi berbaur keresahan. "Wa'alaikumussalam warahmatullah..handphone duk jauh tadi." ringkas jawapanku. "Allah, ana ada hal kejap, lepas Isyak ana call balik. Gantung handphone di leher, tak lah susah nak angkat." riang nada Lutfi di hujung talian. "Insya-Allah,ana pun ada hal nak bincang ngan enta." Aku menjawab ringkas.
          Pemuda lulusan timur tengah itu sememangnya seorang yang sangat prihatin. Mudah mempamerkan kerisauan dan mempamerkan sayangnya. Namun naluri wanitaku tidak senang dengan sikap sedemikian. Aku tidak seperti kebanyakan wanita, mudah cair dan hanyut dengan ayat-ayat cinta yang dilafaz penuh romantik dari  Sang Arjuna. Sangat tidak selesa dibelai dengan kata manja saat segalanya belum halal dizahirkan. Sungguh aku rimas dan dibalut rasa berdosa. Dalam usrah, lantang bersuara menegur anak-anak usrah agar menjaga ikhtilat. Jangan sampai cinta fitrah menjadi fitnah. Jangan sampai hilang keberkatan dalam bahtera yang bakal dibina. Apatah lagi bahtera itu bahtera dakwah. Penuh dengan amanah dan tanggungjawab besar. Bukan sahaja untuk membina sebuah keluarga bahagia, tetapi menjadikan keluarga pemangkin untuk terus bergerak dalam arena dakwah. Suami imam yang bukan sekadar memimpin solat, tetapi mampu membawa keluarga memimpin ummah. Si isteri pula bukan sekadar menjadi solehah kerana taat pada suami dan menjadi ibu mithali kepada cahaya mata, tetapi mampu memimpin para isteri dan ibu yang lain untuk turut sama menjadi isteri solehah dan ibu mithali. Bahkan zuriat yang dilahirkan telah diasuh dan terasuh jiwanya dengan roh dan semangat perjuangan untuk menegakkan Dinullah agar terus memayungi buana. 
          Tatkala melantunkan ayat kedua dan ketiga Surah As-Saff, ' Hai orang-orang yang beriman,mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian disisi Allah sekiranya kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.' Bertambah sesak nafasku. Bergetar jiwaku dengan ancaman kebencian itu. Apalah erti dunia dan seisinya andai hidup berteman kebencian Sang Pencipta. Tanpa kasih sayang dan rahmatNya, pasti saja hidup seakan mati yang belum mati. Sesalnya, Lutfi tidak memahami aspirasi diriku. Dia tidak mahu merealisasikan impian ini. Dia sekadar mahu membina Baitul Muslim. Tidak perlu berfikir soal ummah. Memadailah sekadar menjaga keharmonian rumahtangga. Katanya takut hilang fokus pada keluarga. Isteri tempatnya dirumah semata. Jaga dan didik anak-anak, jaga makan pakai suami sudah mencukupi. Acapkali juga aku menerangkan beserta hujah dan bukti nyata. Meminta dia cuba memahami. Memberi gambaran akan jauhnya ummah hari ini dari syariatullah. Islam sekadar agama. Bukan cara hidup yang menjadi pakaian peribadi. Dengan latar belakang pendidikan agama sepenuhnya, aku menyangka mudah baginya memahami senario semasa. Anggapanku meleset sama sekali. Bahkan dia pula menasihatiku. Tidak payah melibatkan diri dengan hal yang sebegini. Semua ini politik katanya. Politik itu tiada yang betul dan penuh dengan kotoran dari tangan-tangan manusia. Aku semakin kecewa dengan sikapnya. Fikrahnya jauh berbeza dariku. Aku sudah sebati dengan tarbiyyah dari murabbiku. Dalam usrah kami dididik menjadi muslim yang peduli dengan ummah.  Dalam usrah kami ditarbiyyah hidup bukan untuk diri dan keluarga semata. Kalam perjuangan ringan meniti di bibir kami. Saat kami rasa lemah dan mula berputus asa, kami akan digegarkan dengan ayat-ayat ancaman Allah pada yang lalai dalam menegakkan agamaNya. Kami risau Allah gantikan kami dengan yang lebih baik. Kami khuatir, tidak lagi berada dalam saf perjuangan ini.






*sharing is caring: dipetik dr majalah tarbawi pas- 60 tahun mempersada gerakan.
-akan bersambung...=)

Friday, 27 January 2012

~ Dia Pasti Ada..~

          Mata masih tajam terpaku di depan skrin laptop 14 inci. Laptop yang berbudi. Aku beli usai mendapat gaji pertama. Sebagai kenangan peribadi. Hajat hati mahu menyudahkan perincian modul Program 'Offline With Couple' khusus untuk remaja yang akan dilaksanakan dua minggu lagi. Dahi yang tidak berkerut terus diurut. Mengharap idea terpancar dari minda yang lemas. Mana mungkin!
          Aku tidak mampu membendung kegusaranku. Peluang bertemu Anisah atas urusan program ini, aku manfaatkan sebaiknya. "Anis, ana nak tanya pandangan enti sikit." Aku menyambung perbincangan kami pada isu yang lebih peribadi. "Sejak bila sopan sangat ni? Biasanya terjah soalan tak ada pun minta-minta izin." Anis menjawab pertanyaanku dengan gurauan mesra. 
          Anisah, sahabatku sedari zaman sekolah lagi. Teman sama berusrah, sama ditarbiyyah dan hari ini, sama berjuang. Sikapnya yang ramah sesuai dengan namanya. Tidak pernah lokek memberi pandangan walau dia saja mungkin tidak banyak pengalaman. Tetapi pembacaannya yang banyak meyakinkan aku untuk berkongsi resah. Dia sentiasa punya idea yang setidaknya mampu membantu meleraikan kusut jiwa ini. Aku sudah tidak mampu menanggungnya. Penat!
         "Ana dah buat keputusan, ana nak putuskan hubungan dengan Lutfi." datar nadaku. "Haa? Bulan depan dah nak nikah kan?" Anis terkejut seperti yang aku jangkakan. Aku mengangguk lemah. Tidak mampu aku tatap wajah Anis yang kehairanan. Bebola mataku tepat memandang meja yang berselerakan dengan kertas kerja program. "Zahra, apa masalahnya? cerita dengan jelas dan terang. Insya-Allah ana akan berikan pandangan yang terbaik." Jujur Anis mahu membantuku. "Ana rasa Lutfi bukan yang terbaik untuk ana. Jiwa kami tidak serasi, matlamat kami tidak sama, impian juga berbeza. Ana penat membohongi diri sendiri. Menerimanya atas desakan abah yang risau anaknya masih belum berteman hidup." Luahku tulus dari hati. "Tak serasi macam mana maksud enti? Kenapa selama ini ana lihat enti tak ada masalah pun. Atau enti sudah ada pilihan lain?" Tanya Anis ingin penjelasan. "Bukan sebab ana ada pilihan lain. Banyak perbezaan antara ana dengan Lutfi tapi ana tak boleh ceritakan semuanya. Ana minta maaf." Aku tidak mahu membuka aib Lutfi pada Anisah. "Baiklah, ana faham dan hormati pendirian enti. Cuma yang mampu ana nasihatkan, istikharah kembali. Mohon dengan tulus dan bersungguh, Allah tunjukkan jalan keluar pada kerumitan ini. Saat dia melamar mahu jadikan enti suri hatinya, enti terima dalam keadaan yang baik. Jadi, andainya ketenangan enti hanya akan kembali dengan memutuskan pertunangan ini, tolaklah dengan cara yang baik juga. Jelaskan pada abah dan mak. Jangan sampai keresahan jiwa enti mengeruhkan hubungan dua keluarga. Ana yakin enti seorang yang rasional, bertindak dengan akal yang waras dan hati yang bersih. Insya-Allah, keputusan enti nanti natijahkan sesuatu yang positif. Doa ana iring." Tutur Anis satu persatu. Bergenang kelopak mataku. 
          Berbalam kulihat wajah mulus Anis. Nasihat sahabatku yang penuh hikmah. Aku menggenggam tangannya erat. Tidak terlafaz ucapan terima kasih, hanya gerak laku itu mampu kuzahirkan.

*sharing is caring: dipetik dr majalah tarbawi pas- 60 tahun mempersada gerakan.
-akan bersambung...=)

Wednesday, 14 December 2011

Wasiat Luqmanul Hakim

Siapakah Luqmanul Hakim?
Disebut dialam Al-Quran iaitu mengenai Luqman Al-Hakim. Seorang yang penuh dengan Hikmah dan Kebijjaksanaannya. Persoalannya ialah,  apakah beliau seorang Nabi atau Wali ? Hikmah yang dikurniakan oleh Allah swt kepada Luqman boleh kita lihat dari surah Al-Luqman, ayat 12:
Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu) dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
Daripada fatwa yang disampaikan oleh Bekas Pengerusi Lujnah Fatwa Al-Azhar, Sheikh Atiyah Saqr:
“Allah telah mengurniakan satu surah yang dinamakan atas nama Luqman. Kita dapat lihat firman Allah swt didalam ayat 12, surah Luqman: “DAN sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): “Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmat-Nya kepadamu)”.
Didalam ayat ini menyebut bahawa Allah swt telah mengurniakan kepada Luqman Hikmah khususnya didalam wasiat-wasiat beliau kepada anaknya dan kepentingan wasiat tersebut.
Terdapat beberapa perselisihan mengenai keturunan beliau, dan ia tidak mempunyai nas yang kuat.
Sebagai contoh dari riwayat Mohammad bin Ishaq :Dia adalah Luqman bin Baouraa’ bin Nahor bin Tarikh (Azar), anak saudara kepada Nabi Ibrahim.
Berkata Al-Sohailli : Beliau adalah Luqman bin ‘Anqa’ bin Saron, dimana beliau mempunyai keturunan dari Nabi-Nabi.
Berkata Al-Zamakhshari : Beliau adalah Luqman bin Baouraa’ , sepupu kepada Nabi Ayub, telah hidup selama 1,000 tahun sehingga ke zaman nabi Daud dimana beliau menerima ilmunya.
Berkata Al-Waaqadyu : Beliau merupakan seorang hakim Bani Israel dan
Berkata Sa’id bin Al-Mosaib : Luqman adalah kaum hitam dari keturunan Sudan Mesir.
Begitu juga terdapat perbezaan dari segi kemahirannya. Ada yang mengatakan Luqman sebagai Tukang Jahit, dan yang mengatakan Pencari Kayu, dan yang mengatakan beliau sebagai Gembala dan ada juga yang mengatakan beliau sebagai Tukang kayu. Dikatakan beliau seorang hitam, dua tapak kakinya ketak-ketak. Mempunyai bibir yang tebal dan kesemua cerita-cerita tidak mempunyai bukti atau dalil yang kuat. Apa yang penting ialah kita ingin tahu apakah beliau seorang Nabi, Wali atau Lelaki yang Soleh!
Yang dipersetujui keatasnya ialah beliau dikurniakan Allah HIKMAH. Wasiat dan keputusan beliau direkodkan didalam Al-Quran, dan majoriti ulama’ mengatakan bahawa beliau adalah WALI dan bukannya NABI kecuali Ikrimah mempercayai bahawa beliau seorang Nabi. Tetapi sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Qurthubi didalam menafsir surah Luqman, bahawa sesungguhnya beliau merupakan seorang yang bijak dengan Hikmah Allah swt.
Apa-apa yang sebenar berlaku (sejarah beliau) yang kita kemungkinan jahil(kurang pengetahuan) mengenainya tidak memberi kemudaratan keatas kita, dan apa yang mustahak ialah mengikuti sejarahnya (sirah) dan mengambil hikmahnya”
Kesimpulannya
Jumhur Ulama mengatakan beliau seorang Wali yang dikurniakan oleh Allah kebijaksanaan yang disebut sebagai hikmah. Apa yang penting ialah pengajaran yang beliau bawa yang menjadi pelajaran kepada manusia sejagat. Dengan kurniaan Hikmah dari Allah swt disitu beliau mendapat gelaran Luqman Al-Hakim.




Bicara Luqman dengan anaknya menerusi satu riwayat dalam kitab Tafsir Rahul Ma'ani dan Kitab Hidayatul Mursyidin, diriwayatkan telah memberikan anaknya dua puluh lima wasiat iaitu: 

1. Hai anakku, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama taqwa, isinya ialah iman dan layarnya ialah tawakkal kepada Allah.

2. Hai anakku, janganlah engkau menelan terus sesuatu makanan kerana manisnya dan janganlah terus engkau memuntahkan sesuatu barang kerana pahitnya. Kerana manis itu belum tentu mendatangkan kesegaran dan pahit itu belum tentu mendatangkan musibah.

3. Hai anakku, apabila engkau ingin mencari teman sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan perkara yang menaikkan kemarahannnya. Bila mana dalam kemarahan itu dia masih berusaha untuk menginsafkan engkau maka bolehlah engkau ambil sebagai teman dan sekiranya bukan demikian maka berhati-hatilah engkau terhadapnya.

4. Perbaikilah tuturkatamu, halus budi bahasamu dan manis wajahmu, kerana engkau akan disukai orang melebihi sukanya terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga kepadanya.

5. Hai anakku, janganlah engkau terlalu mudah ketawa kalau bukan perkara yang menggelikan, jangan engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau menanyakan sesuatu yang tidak ada gunanya bagi diri kamu dan janganlah engkau mensia-siakan harta dunia kamu.

6. Hai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke bakul sampah, kelak diri kamu akan menjadi pengemis yang membebankan orang lain. Sebaliknya jangan engkau rangkul dunia ini dan meneguk habis airnya, kerana sesungguhnya semua yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan orang bodoh dan orang yang bermuka dua, kerana akan membahayakan diri kamu.

7. Hai anakku, apabila engkau berteman, jadikanlah dirimu orang yang tidak pernah mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarlah dia mengharapkan sesuatu daripadamu.

8. Jadikanlah dirimu dalam setiap perkara sebagai seorang yang tidak berhajatkan kepada pujian atau menagih sanjungan dari orang lain, kerana penguasaan riya' itu akan menyebabkan diri kamu beroleh kecelakaan.

9. Hai anakku, janganlah engkau cenderung kepada dunia semata-mata dan hatimu jangan disibukkan dengan urusan dunia semata-mata, kerana engkau diciptakan oleh Allah bukan untuk urusan dunia sahaja. Sesungguhnya tidak ada orang yang lebih hina melainkan orang yang terpedaya dengan dunia semata-mata.

10. Hai anakku, usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata busuk, kotor dan kasar kerana engkau akan lebih selamat apabila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar dirimu mendatangkan manfaat kepada orang lain.

11. Hai anakku, bukanlah sesuatu kebaikan namanya apabila engkau selalu mencari ilmu tetapi tidak engkau mengamalkannya. Hal itu tidak ubahnya seperti orang yang mencari kayu bakar, setelah banyak terkumpul maka dia tidak mampu memikulnya, padahal dia masih terus mengumpulkannya.

12. Janganlah engkau makan atau minum yang berlebihan kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu akan merosakkan diri dan pemikiranmu dan alangkah baiknya makanan yang lebih itu diberikan kepada anjing sahaja.

13. Barangsiapa yang penyayang, sudah tentu akan disayang, sesiapa yang suka berdiam diri sudah tentu akan selamat daripada berkata-kata tentang perkara yang mengandungi racun dan barang siapa yang tidak mampu menahan lidahnya daripada berkata kotor, sudah tentu akan menyesal.

14. Hai anakku, bergaul mesralah dengan orang alim dan berilmu. Perhatikanlah kata-kata dan nasihatnya kerana sesungguhnya akan sejuk hati kamu mendengar nasihatnya, akan hiduplah hatimu dengan cahaya hikmah dari mutiara kata alim ulama bagaikan tanah yang subur disiram air hujan.

15. Hai anakku, bila engkau mengahdapi dua pilihan, menjenguk orang mati atau menghadiri pesta perkahwinan, maka hendaklah engkau memilih menjenguk orang mati. Sebab menziarah orang mati itu akan mengingatkan kamu kepada kampung akhirat, sedangkan menghadiri pesta perkahwinan itu hanya akan mengingatkan kamu kesenangan dunia.

16. Makanlah makananmu bersama-sama orang yang taqwa dan musyawarahlah segala urusanmu dengan para alim ulama dengan cara memohon nasihat daripadanya.

17. Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan daripada Allah. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat daripada orang lain, akan sentiasa menerima kemuliaan dari Allah swt.

18. Hai anakku, seandainya orang tuamu memarahimu, maka marahnya itu sebagai siraman air bagi tanam-tanaman yang kering kontang.

19. Jauhilah dirimu dari berhutang kerana sesungguhnya berhutang itu akan menjadikan dirimu hina di siang hari dan hina di malam hari.

20. Selalulah berharap kepada Allah agar menjauhkan kamu daripada sesuatu yang menyebabkan kamu menderhaka kepada-Nya. Takutlah kepada Allah dengan benar-benar takut, tentulah engkau akan terlepas dari sifat putus asa daripada rahmat Allah swt.

21. Hai anakku, engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu yang besar dan besi yang amat berat tetapi adalah lebih berat daripada itu semua apabila engkau mempunyai jiran yang jahat.

22. Hai anakku, janganlah sekali-kali engkau mengirimkan utusan melalui orang bodoh dan jahat. Maka bila tidak ada orang yang baik dan cerdik, sebaiknya engkau sendiri sahajalah yang menjadi utusan.

23. Jauhilah sejauh-jauhnya sifat dusta, sebab berrdusta itu enak sekali mengerjakannya bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja perbuatan dusta yang dilakukan, akibat dan bahayanya amat besar.

24. Hai anakku, orang yang merasa dirinya hina dan rendah di dalam beribadah dan taat kepada Allah, maka orang itu akan sentiasa tawadhuk kepada Allah, dia akan lebih dekat kepada Allah dan sentiasa menghindarkan dirinya daripada melakukan maksiat.

25. Hai anakku, seorang pendusta itu akan hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seseorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa memikirkan dan mengkhayalkan perkara-perkara yang tidak benar. Ketahuilah bahawa memindahkan batu besar yang berat dari tempat asalanya adalah lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang-orang yang tidak mahu mengerti.

Monday, 31 October 2011

Dimanakah anak panah Islam sekarang?

Assalamua'laikum warahmatullahi wabarakatuh...
Alhamdulillah, hari ini masih berkesempatan untuk meng'update' blog ini untuk perkongsian bersama. Beberapa hari yang lalu, ana ditakdirkan berjumpa dengan seorang akak yang sangat ana kagumi. Perwatakannya sangat sederhana, dari luaran dia kelihatan seperti orang-orang biasa sahaja, tutur katanya juga tidak lantang menyuarakan semangat jihad, namun suara yang halus dan lembut menjadi identiti seorang mujahidah Islam. Lantas ana sedar, pertemuan dengannya adalah satu tarbiyyah daripada Allah swt agar ana belajar sesuatu daripada seorang muslimah hiasan dunia ini. Pertemuan yang seketika telah menitipkan kekaguman yang besar dalam diri ana. Masya-Allah, ternyata saudaraku ini punya aura yang menyerlah. 




Di akhir pertemuan dengannya, aku tertarik pada kata-kata yang dituturkannya. Katanya, dia sangat tertarik dengan kata-kata Saad bin Abi Waqqas, seorang sahabat Nabi yang dikagumi..
.....انا رمي من رماية الإسلام, فيرمي اين ما كنت
"Aku adalah anak panah, daripada panah-panah Islam, campakkanlah aku ke mana sahaja yang engkau mahu, aku tetap berjuang demi Islam."
Jom kita sama-sama selusuri sirah perjuangan Saad bin Abi Waqqas..=)



Sa'ad bin Abi Waqqash RA.
Lelaki penghuni surga di antara dua pilihan, iman dan kasih sayang. Malam telah larut, ketika seorang pemuda bernama Sa’ad bin Abi Waqqash terbangun dari tidurnya. Baru saja dia bermimpi sesuatu yang sangat mencemaskan. Ia berasa terbenam dalam kegelapan, kerongkongnya terasa sesak, nafasnya termengah-mengah, keringatnya bercucuran, keadaan sekelilingnya gelap-gelita. Dalam keadaan yang demikian dahsyat itu, tiba-tiba dia melihat seberkas cahaya dari langit yang terang-benderang. Maka dalam sekejap, berubahlah dunia yang gelap-gelita menjadi terang benderang dengan cahaya tadi. Cahaya itu menyinari seluruh penjuru bumi. Bersama dengan sinar yang cemerlang itu, Sa’ad bin Abi Waqqash melihat tiga orang lelaki, yang setelah diamati tidak lain adalah Ali bin Abi Thalib, Abu Bakar bin Abi Quhafah dan Zaid bin Haritsah.

Sejak ia bermimpi perkara itu, mata Sa'ad bin Abi Waqqash tidak mahu terpejam lagi. Kini Sa’ad bin Abi Waqqash duduk merenung untuk memikirkan erti mimpi yang baginya sangat aneh. Sampai sinar matahari mulai meninggi, rahsia mimpi yang aneh tersebut masih belum terjawab. Hatinya kini bertanya-tanya, berita apakah yang hendak saya peroleh. Seperti biasa, di waktu pagi, Sa’ad dan ibunya selalu makan bersama-sama. Dalam menghadapi hidangan pagi ini, Sa’ad lebih banyak berdiam diri. Sa’ad adalah seorang pemuda yang sangat patuh dan taat kepada ibunya. Namun, mimpi semalam dirahsiakannya, tidak diceritakan kepada ibu yang sangat dicintai dan dihormatinya. Demikian dalam sayangnya Sa’ad pada ibunya, sehingga seolah-olah cinta Sa’ad hanya untuk ibunya yang telah memelihara dirinya sejak kecil hingga dewasa dengan penuh kelembutan dan berbagai pengorbanan.
Pekerjaan Sa’ad adalah membuat tombak dan lembing yang diruncingkan untuk dijual kepada pemuda-pemuda Makkah yang senang berburu, meskipun ibunya terkadang melarangnya melakukan usaha ini. Ibu Sa’ad yang bernama Hamnah binti Suyan bin Abu Umayyah adalah seorang wanita hartawan keturunan bangsawan Quraisy, yang memiliki wajah cantik dan anggun. Disamping itu, Hamnah juga seorang wanita yang terkenal cerdik dan memiliki pandangan yang jauh. Hamnah sangat setia kepada agama nenek moyangnya, yaitu penyembah berhala.
Pada suatu hari tabir mimpi Sa'ad mulai terbuka, ketika Abu Bakar As Siddiq mendatangi Sa'ad di tempat pekerjaannya dengan membawa berita dari langit tentang diutusnya Muhammad Saw, sebagai Rasul Allah. Ketika Sa’ad bertanya, siapakah orang-orang yang telah beriman kepada Muhammad Saw, dijawab oleh Abu Bakar As Siddiq, dirinya sendiri, Ali bin Abi Thalib, dan Zaid bin Haritsah. Muhammad Saw, mengajak manusia menyembah Allah Yang Esa, Pencipta langit dan bumi. Seruan ini telah mengetuk pintu hati Sa’ad untuk menemui Rasulullah Saw, untuk mengucapkan dua kalimat syahadat. Kalbu Sa'ad telah disinari cahaya iman, meskipun usianya waktu itu baru menginjak tujuh belas tahun. Sa’ad termasuk dalam deretan lelaki pertama yang memeluk Islam selain Ali bin Abi Thalib, Abu Bakar As Siddiq dan Zaid bin Haritsah. Cahaya agama Allah yang memancar ke dalam kalbu Sa’ad, sudah demikian kuat, meskipun ia mengalami ujian yang tidak ringan dalam memeluk agama Allah ini.
Diantara ujian yang dirasa paling berat adalah, karena ibunya yang paling dikasihi dan disayanginya itu tidak rela ketika mengetahui Sa’ad memeluk Islam. Sejak memeluk Islam, Sa'ad telah melaksanakan solat dengan sembunyi-sembunyi di kamarnya. Sampai pada suatu saat, ketika ia sedang bersujud kepada Allah, secara tidak sengaja, ibu yang belum mendapat hidayah dari Allah ini melihatnya. Dengan nada sedikit marah, Hamnah bertanya : "Sa'ad, apakah yang sedang kau lakukan ?" Rupanya Sa’ad sedang berdialog dengan Tuhannya; ia tampak tenang dan khusyu' sekali. Setelah selesai menunaikan Solat, ia berbalik menghadap ibunya seraya berkata lembut. "Ibuku sayang, anakmu tadi bersujud kepada Allah Yang Esa, Pencipta langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya. Mendengar jawapan anaknya, sang ibu mulai naik darah dan berkata : "Rupanya engkau telah meninggalkan agama nenek moyang kita, Tuhan Lata, Manata dan Uzza. Ibu tidak rela wahai anakku. Tinggalkanlah agama itu dan kembalilah kepada agama nenek moyang kita yang telah sekian lama kita anut". "Wahai ibu, aku tidak dapat lagi menyekutukan Allah, Dia-lah Dzat Yang Tunggal, tiada yang setara dengan Dia, dan Muhammad adalah utusan Allah untuk seluruh umat manusia," jawab Sa'ad.
Kemarahan ibunya semakin menjadi-jadi, karena Sa’ad tetap berkeras dengan keyakinannya yang baru ini. Oleh karena itu, Hamnah berjanji tak akan makan dan minum sampai Sa’ad kembali taat memeluk agamanya semula. Sehari telah berlalu, ibu ini tetap tidak mau makan dan minum. Hati Sa’ad merintih melihat ibunya, tetapi keyakinanya terlalu mahal untuk dikorbankan. Sa'ad datang memujuk ibunya dengan mengajaknya makan dan minum bersama, tapi ibunya menolak dengan harapan agar Sa’ad kembali kepada agama nenek moyangnya. Kini Sa’ad makan sendirian tanpa ditemani ibunya. Hari keduapun telah berlalu, ibunya tampak letih, wajahnya pucat-lesi dan matanya cekung, ia kelihatan lemah sekali. Tidak ada sedikitpun makanan dan minuman yang dijamahnya. Sa’ad sebagai seorang anak yang mencintai ibunya bertambah sedih dan terharu sekali melihat keadaan Hamnah yang demikian.
Malam berikutnya, Sa’ad kembali memujuk ibunya, agar mahu makan dan minum. Namun ibunya adalah seorang wanita yang berpendirian keras, ia tetap menolak ajakan Sa’ad untuk makan, bahkan ia kembali merayu Sa’ad agar menuruti perintahnya semula. Tetapi Sa’ad tetap pada pendiriannya, ia tak mahu menjual agama dan keimanannya kepada Allah dengan sesuatupun, sekalipun dengan nyawa ibu yang dicintainya. Imannya telah membara, cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya telah sedemikian dalam. Di depan matanya ia menyaksikan keadaan ibunya yang meluluhkan hatinya, namun dari lidahnya keluar kata-kata pasti yang membingungkan lbunya; Demi Allah, ketahuilah wahai ibunda sayang, seandainya ibunda memiliki seratus nyawa lalu ia keluar satu persatu, tidaklah anakanda akan meninggalkan agama ini walau ditebus dengan apa pun juga. Maka sekarang, terserah kepada ibunda, apakah ibunda akan makan atau tidak". Kata kepastian yang diucapkan anaknya dengan tegas membuat ibu Sa’ad bin Abi Waqqash tertegun sesaat.
Akhirnya ia mulai mengerti dan sedar, bahwa anaknya telah memegang teguh keyakinannya. Untuk menghormati ibunya, Sa’ad kembali mengajaknya untuk makan dengannya, karena ibu ini telah merasakan kelaparan yang amat sangat dan ia telah memaklumi pula bahawa anak yang dicintainya tidak akan mundur setapakpun dari agama yang dianutnya, maka ibu Sa’ad mundur dari pendiriannya dan memenuhi ajakan anaknya untuk makan bersama. Alangkah gembiranya hati Sa’ad bin Abi Waqqash. Ujian iman ternyata dapat diatasinya dengan ketabahan dan memohon pertolongan Allah.
Keesokan paginya, Sa’ad pergi menuju ke rumah Nabi Saw. Sewaktu ia berada di tengah majlis Nabi Saw, turunlah firman Allah yang menyokong pendirian Sa’ad bin Abi Waqqash:
“Dan Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu-bapanya, ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah lemah dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu-bapamu; hanya kepada-Ku-lah tempat kamu kembali. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu turuti keduanya, dan bergaullah dengan keduanya didunia dengan baik dan ikutilah jalan orang-orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah tempat kembalimu. Maka Kuberitahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan". (Q.S. Luqman: 14-15).
Demikianlah, keimanan Sa’ad bin Abi Waqqash kepada Allah dan Rasul-Nya telah mendapat keredhaan Ilahi. Al-Qur’an telah mengabadikan peristiwa itu menjadi pedoman buat kaum Muslimin. Terkadang Sa’ad mencucurkan air matanya apabila dia berada di dekat Nabi Saw. Ia adalah seorang sahabat Rasul Allah Saw, yang diterima amal ibadahnya dan diberi nikmat dengan doa Rasul Allah Saw, agar doanya kepada Allah dikabulkan. Apabila Sa'ad bermohon diberi kemenangan oleh Allah pastilah Allah akan mengabulkan doanya.
Pada suatu hari, ketika Rasulullah saw, sedang duduk bersama para sahabat, tiba-tiba beliau menatap ke langit seolah mendengar bisikan malaikat. Kemudian Rasul kembali menatap kepada sahabatnya dengan berkata : "Sekarang akan ada di hadapan kalian seorang laki-laki dari penduduk syurga". Mendengar ucapan Rasulullah saw, para sahabat melihat ke kanan dan ke kiri pada setiap arah, untuk melihat siapakah gerangan lelaki berbahagia yang menjadi penduduk syurga.
Tidak lama berselang datanglah laki-laki yang ditunggu itu, dialah Sa’ad bin Abi Waqqash. Disamping terkenal sebagai anak yang berbakti kepada orang tua, Sa’ad bin Abi Waqash juga terkenal kerana keberaniannya dalam peperangan membela agama Allah. Ada dua hal penting yang dikenal orang tentang kepahlawanannya. Pertama, Sa’ad adalah orang yang pertama melepaskan anak panah dalam membela agama Allah dan juga orang yang mula-mula terkena anak panah. Dan yang kedua, Sa’ad adalah satu-satunya orang yang dijamin oleh Rasulullah saw dengan jaminan kedua orang tua Nabi Saw. Bersabda Nabi Saw, dalam perang Uhud :”Panahlah hai Sa’ad ! Ayah-Ibuku menjadi jaminan bagimu”. Sa’ad bin Abi Waqqash, hampir selalu menyertai Nabi Saw dalam setiap pertempuran.

Doa Sa’ad bin Abi Waqqash yang sentiasa dikabulkan
Diriwayatkan dari Qais, bahwa Sa’ad menceritakan kepadaku bahawa Rasulullah saw pernah bersabda,“Ya Allah, kabulkanlah Sa’ad jika dia berdoa.”
Manakala beliau didoakan seperti itu oleh Nabi saw, maka setiap doanya senantiasa dikabulkan oleh Allah. Diriwayatkan dari Jabir bin Samurah, dia berkata,“Suatu ketika penduduk Mekah mengadukan Sa’ad bin Abi Waqqash kepada Umar bin Khattab, mereka mengatakan bahwa solatnya tidak baik. Sa’ad kemudian membantah, ‘Aku mengerjakan solat sesuai dengan solatnya Rasulullah saw. Solatku pada waktu Isya', aku lakukan dengan lama pada dua rakaat pertama sedangkan pada dua rakaat terakhir aku lakukan dengan ringkas.’ Mendengar itu Umar bin Khattab berkata, “Bererti itu hanya prasangka terhadapmu wahai Abu Ishaq.’ Dia kemudian mengutus beberapa orang untuk bertanya tentang dirinya di Kufah, ternyata ketika mereka mendatangi masjid-masjid di Kuffah, mereka mendapat informasi yang baik, hingga ketika mereka datang ke masjid Bani Isa, seorang lelaki bernama Abu Sa’dah berkata, ‘Demi Allah, dia tidak adil dalam menetapkan hukum, tidak membagi secara adil dan tidak berjalan (untuk melakukan pemeriksaan) di waktu malam. Setelah itu Sa’ad bin Abi Waqqash berkata, ‘Ya Allah, jika dia bohong maka butakanlah matanya, panjangkanlah usianya dan timpakanlah fitnah kepadanya.’”
Abdul Malik berkata,“Pada saat itu aku melihat Abu Sa’dah menderita penyakit tuli dan jika ditanya bagaimana keadaanmu, dia menjawab, ‘Orang tua yang terkena fitnah, aku terkutuk oleh doa Sa’ad.”(HR. Muttafaq ‘Alaihi).
Diriwayatkan dari Ibnu Al Musayyib, bahawa suatu ketika seorang lelaki mencela Ali bin Abu Thalib, Thalhah bin Ubaidillah dan Zubair bin Awwam. Mendengar itu, Sa’ad menegurnya,“Janganlah kamu mencela sahabat-sahabatku.’ Tetapi lelaki itu tidak mahu menerima. Setelah itu Sa’ad berdiri, lalu mengerjakan solat dua rakaat dan berdoa. Tiba-tiba seekor unta bukhti (peranakan unta Arab dan Dakhil) muncul menyerang lelaki tersebut hingga jatuh tersungkur di atas tanah, lantas meletakkannya di antara dada dan lantai hingga akhirnya ia terbunuh. Aku melihat orang-orang mengikuti Sa’ad dan berkata, ‘Selamat kamu wahai Abu Ishaq, doamu terkabulkan.’”
Sejarah mencatat, hari-hari terakhir Panglima Sa’ad bin Abi Waqqash ialah ketika ia memasuki usia lapan puluh tahun. Dalam keadaan sakit Sa’ad bin Abi Waqqash berpesan kepada para sahabatnya, agar ia dikafani dengan Jubah yang digunakannya dalam perang Badar, sebagai perang kemenangan pertama untuk kaum muslimin. Pahlawan perkasa ini telah menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 55 H dengan meninggalkan kenangan indah dan nama yang harum. Ia dimakamkan di pemakaman Baqi’, makamnya para Syuhada.

Setelah membaca kisah Sa'ad bin Abi Waqqas ini, ana berfikir: "masih adakah anak panah Islam pada hari ini? Jika ada, di manakah dia? dan mampukah ana juga menjadi anak panah Islam itu?"

Tuesday, 11 October 2011

Pesan Roh Kepada Manusia..

Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan mendengarnya kecuali jin dan manusia. Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata : "Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirahat daripada seretan malaikat maut".

Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu : "Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan air dalam keadaan panas. Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh dari tubuh".

Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu :"Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh" . Setelah dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai Hari Kiamat.

Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan : "Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku menjadi Balu. Maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari itu aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya" . Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir.

Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan: " Wahai Kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalaikan aku".

"Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang aku telah aku kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahanku". "Adapun didunia, Allah menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku".

Baginda Rasullullah S.A.W berkata: "Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar.Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Sambung Rasullullah S.A.W. lagi: "Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S. akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S. "Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan menebarkan sayap di sebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya".

Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata: "Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T." Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada AllahS.W.T. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu.

Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain." Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T . maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: "Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."

Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini Kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu." Apabila gagal malaikat maut mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir."

Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah.".

Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:"Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu di telapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu."

Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

Subhanallah... Maha Suci Allah... Allahu Akhbar !!!

( Share from: IMAM MUDA NAZRUL-facebook)

Monday, 3 October 2011

Deactivate Awhile..

Assalamua'laikum wbt..
Salam satu ukhuwwah buat semua rakan-rakan blog dan semua yang mengenali diri ini. Post kali ini hanyalah sekadar pemberitahuan atau information kepada rakan-rakan yang masih belum menemui jawapan tentang kehilangan ana di facebook (ayat mcm kna culik je..hehe). Sebenarnya facebook ana sekarang masih dalam keadaan unactive. Bila dh dalam keadaan unactive, tentulah ana deactivate kan. Kata orang, setiap apa yang kita lakukan pasti ada sebab, jd ana tak nak tipu atau bohong dengan mengatakan ana men'deactivate'kan akaun facebook tanpa sebab atau orang kampung ana cakap, "saje-saje je"..Ana memang seorang yang akan hadapi apa jua masalah dalam hidup ni tp bila berdepan terlalu banyak masalah berkaitan facebook, ana sendiri dan dengan rela dan senang hati mengambil keputusan untuk deactivate facebook. Rasanya tak perlulah ana membuka aib sesiapa di sini atau ana berterus terang mengenai sebab musabab ana tidak mengaktifkan facebook, sebaliknya ana hanya ingin memberitahu yang ana lebih tenang setelah tidak mengaktifkan facebook. Mungkin Allah ingin memberi ruang kepada ana untuk lebih dekat kepada-Nya setelah begitu lama diri ini bergelumang dosa dan maksiat serta begitu asyik dengan keduniaan sehingga hidup ini dirasakan jauh dari tarbiyyah sang pencipta. Ya Allah,hinanya aku andai aku menghadap-Mu dalam keadaan diri ini penuh maksiat kepada-Mu..T_T..bimbinglah aku ya Allah, agar diriku ini tidak lari dari landasan yang telah Engkau suluhi dengan cahaya hidayah-Mu, andai aku berpaling dari-Mu, alangkah ruginya diriku kerana sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri..
YA ALLAH TIDAKKU SEDARI
SELAMA INI CINTA-MU TAK PERNAH MENYEPI
RAHMAT KASIH SAYANG-MU YANG TIADA BERTEPI
SETIAP HAMBA-MU TETAP KAU SAYANGI
BIARPUN BANYAK DOSA MENGHIMPIT DIRI INI
JANJI PADA HAMBA-MU TAK PERNAH KAU MUNGKIRI
MAAFKANLAH..REDHAILAH...
AKU DAMBAKAN...DAMBAKAN CINTA
CINTA SEJATI YANG KEKAL SELAMANYA
BIARPUN PAHIT PERJALANAN MERAIHNYA
DEMI REDHA-MU KU HARUNGI JUA...
*segala kepahitan, segala keperitan, terima bagai penghapus dosa..
jika kau rebah, jika kau kalah, bersaksilah rahmat-Nya akan terserlah..