Saturday 28 April 2012

~ Dia Pasti Ada ~ (episod 3)

          Senja itu, munajatku panjang di tikar sejadah. Sengaja ku lamakan wiridku. Alunan al-Qur'an juga aku banyakkan. Biasanya aku mendisiplinkan diri, usai maghrib aku harus membaca sekurang-kurangnya semuka al-Qur'an beserta terjemahannya. Mentadabbur kalam suci itu biar menyuluh terang lorong kehidupan. Jangan tersasar haluan dan silap langkah. Jalan ini masih panjang dan jauh. Apatah lagi dipenuhi duri-duri yang mudah mensasarkan laluan menuju Firdaus yang indah. Menenangkan gundah di hati, berkumandang azan Isyak baru aku sudahi pembacaan Qur'anku. Terasa ketenangan memenuhi sukma. Kepala terasa sedikit ringan dari beban minda dan ralat jiwa.
           Aku sudah semakin bersedia untuk meluah rasa. Istikharahku beberapa hari lepas juga memberi isyarat bahawa ini adalah keputusan yang terbaik harus ku ambil. Abah dan emak sudah aku maklumkan semasa kami makan malam kelmarin. "Kenapa tiba-tiba buat keputusan mengejut macam ni?" soal abah sedikit tegas. Air muka mak juga kelihatan keruh. Mujur nasi sudah dijamah. Kalau tidak, mahu juga terbantut selera orang tuaku mendengar kejutan ini. Namun aku menjelaskan satu persatu. Tanpa selindung, jelas dan nyata. "Tapi Lutfi tu kan jurusan agama, takkan dia nak bina keluarga yang langgar syariat. Lagipun Zahra bukan muda lagi. Kawan sebaya Zahra semua dah kahwin." Komen abah lagi sebagai tanda kurang senang dengan tindakanku. Baginya usiaku sudah agak terlewat untuk terus membujang. "Memang benar abah, Zahra tak nafikan. Lutfi seorang yang baik. Tetapi Zahra mahukan yang lebih baik. Zahra bukan sekadar nak membina Baitul Muslim tetapi Zahra nak lebih lagi iaitu Zahra nak membina Baitul Dakwah. Insya-Allah, Zahra yakin Allah maha mengetahui. Soal jodoh, sudah tersurat. Zahra cuma minta mak dan abah doakan Zahra dimudahkan urusan jodoh. Bertemu seseorang yang dapat bersama dengan Zahra menyusuri jalan dakwah ini." Jawabku jujur.
           Tidak perlu aku menyembunyikan isi hatiku. Abah waliku. Dia berhak tahu dan dia juga pasti inginkan yang terbaik untuk anaknya ini. "Sebenarnya mak juga terkejut dengan keputusan mendadak ini. Apatah lagi Zahra sudah berjanji untuk menerima Lutfi. Mak tidak mahu orang kata kita tidak berpegang pada janji. Tetapi ini soal hidup dan masa depan Zahra. Sekali Zahra bersetuju memilih Lutfi sebagai suami, kesetiaan dan ketaatan Zahra sudah tidak boleh berbelah bahagi lagi. Perkahwinan adalah jambatan Zahra menuju redhaNya. Redha Allah beriring denga redha suami. Jika dari awal lagi Zahra yakin tidak punya keserasian dan kesefahaman terutamanya melibatkan soal fikrah yang bersangkut paut dengan agama, maka memang wajar Zahra menilainya kembali. Mak ikut saja keputusan Zahra. Insya-Allah, mak sentiasa doakan yang terbaik untuk anak mak." Panjang lebar mak menghuraikan pendapatnya. Pandangan yang menyejukkan jiwaku. Ternyata naluri keibuannya dan naluri kewanitaan yang kami kongsikan bersama mudah untuk mak memahami sepenuhnya situasiku. Aku lantas memeluknya erat. Membisikkan ke telinganya, terus doakan agar aku kekal dan istiqamah dalam jalan perjuangan ini. Aku mahu menjadi seperti Saidatina Khadijah, pembantu setia perjuangan suami tercinta hingga ke hujung nyawa.
            Abah juga akhirnya mengangguk tanda setuju. Keputusan kami capai di meja makan malam itu. Sedari kecil aku memang diasuh untuk berbincang terlebih dahulu dengan mak dan abah walau sekecil dan sebesar mana masalah itu. Mak kata, keputusan akan lebih berkat kalau dibawa berbincang. Cuma kedua orang tuaku mengingatkan aku berulang kali, khabarkan kepada Lutfi mengenai keputusan mengejut itu dengan cara baik. Apatah lagi, dia dan keluarganya sudah merancang untuk meminangku bulan hadapan. Mujur juga aku tidak mahu bertunang tempoh hari. Hal sebegini yang aku khuatirkan terjadi. Apatah lagi aku menerimanya tempoh hari sebelum berfikir masak-masak. Hanya kerana permintaan abah. Hanya kerana itu.



*sharing is caring: dipetik dr majalah tarbawi pas- 60 tahun mempersada gerakan.
-akan bersambung...=)